1. Beberapa hari lepas, Menteri Besar Kedah YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor ada mengeluarkan satu kenyataan yang agak kontroversi juga yang antara lain beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri Kedah berhak menyekat dan mengubah aliran Sungai Muda di negeri itu daripada mengalir ke negeri Pulau Pinang.
2. Kenyataan itu dibuat berikutan tuntutan negeri Kedah supaya kerajaan negeri Pulau Pinang membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun.
3. Persoalannya, adakah Kerajaan Negeri Kedah mempunyai bidang kuasa dari segi perundangan untuk melakukan tindakan sedemikian?
4. Saya akan cuba ulas kenyataan tersebut dari sudut peruntukan undang-undang yang berkenaan.
5. Kalau kita rujuk kepada peruntukan berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri dan bidang kuasa kerajaan persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut, tertakluk kepada Senarai Persekutuan, urusan berkaitan air termasuk sungai dan terusan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
6. Walaubagaimanapun, dalam sidang khas Parlimen pada pertengahan 2005, Parlimen Malaysia telah meluluskan pindaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memindahkan perkara-perkara berkaitan dengan bekalan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah & Sarawak). Pindaan tersebut telah diwartakan pada 10 Februari 2005 dan berkuat kuasa pada 21 Mac 2005.
7. Dengan pindaan itu, Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa terhadap urusan berkaitan sumber air, kawasan tadahan dan lembangan sungai, manakala selaras dengan Akta Perkhidmatan Industri Air 2016, industri perkhidmatan air daripada segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan bekalan air dan sebagainya adalah termasuk di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.
8. Apa yang dapat difahami daripada peruntukan undang-undang di atas adalah, dalam urusan berkaitan pengurusan sumber air ini, walaupun perkara berkaitan pengurusan sungai itu adalah termasuk dibawah bidang kuasa pentadbiran kerajaan negeri masing-masing, tetapi apabila ianya melibatkan perkara yang ada kaitan dengan pengurusan air untuk rakyat, kerajaan negeri tidak boleh bertindak "in isolation" dalam membuat sesuatu keputusan kerana ianya termasuk dalam perkara yang berkaitan dengan tanggungjawab bersama antara sesebuah kerajaan negeri dengan kerajaan negeri yang lain dan juga sesebuah kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
9. Apatah lagi dalam isu di atas, Sungai Muda yang berada dalam negeri Kedah itu turut mengalir ke negeri Pulau Pinang. Ertinya, urusan berkaitan pengurusan sumber air daripada Sungai Muda tersebut bukannya sekadar di bawah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Negeri Kedah semata-mata tetapi juga melibatkan bidang kuasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga.
10. Oleh yang demikian, saya berpandangan, adalah menjadi tanggungjawab bersama antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjaga sumber air itu secara bersama dan atas dasar collective responsibility.
11. Justeru sebarang pertikaian berkaitan pengurusan sumber air hendaklah sebaik baiknya diselesaikan menurut undang-undang yang dikanunkan berdasarkan perbincangan dan rundingan antara "state to state basis" dan bukannya mengikut emosi satu pihak semata-mata.
12. Kerajaan persekutuan juga di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) harus turut sama memainkan peranan serta campur tangan dalam urusan melibatkan kan sumber air untuk rakyat di kedua-dua buah negeri tersebut supaya sebarang kemusykilan yang timbul dapat diselesaikan secara win-win situation demi kepentingan rakyat.
13. Ingatlah! Sumber bekalan air adalah hak rakyat dan ia adalah amanah Allah kepada kerajaan yang memerintah. Bukannya modal untuk dipolitikkan oleh pemimpin-pemimpin politik.
Sekian, terima kasih.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia
(K-LITERASI)
No comments:
Post a Comment