Butterworth: Remaja perempuan menempuh detik cemas apabila diekori pekerja cuci kereta yang kemudian cuba mencabulnya sebaik dia tiba di rumahnya di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam, pelajar sekolah berusia 14 tahun itu yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli burger tidak jauh dari kediamannya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika berada di lampu isyarat, mangsa didatangi lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal sambil memerhatinya.
"Lelaki itu kemudian mengekori mangsa dan kerana ketakutan mangsa memberhentikan motosikalnya di sebuah tapak pasar malam yang ketika itu terdapat ramai orang hingga lelaki terbabit beredar," katanya.
Beberapa minit kemudian mangsa pulang ke rumahnya namun terkejut apabila lelaki itu datang dari belakang dan mencabulnya.
"Mangsa menjerit ketakutan dan lelaki terbabit terus beredar sebelum mangsa menceritakan kepada bapanya insiden yang berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, bapa mangsa terus keluar untuk mencari lelaki terbabit selepas anaknya memaklumkan bahawa dia sempat mengambil nombor pendaftaran motosikal selain mengecam wajah suspek yang ketika itu tidak memakai topi keledar.
"Suspek berjaya ditemui di sebuah kedai tayar berhampiran rumah mangsa dan bapa mangsa menghubungi polis memaklumkan kejadian menimpa anaknya.
"Polis terus membuat tangkapan ke atas lelaki berusia 40 tahun yang sudah berkahwin itu untuk siasatan lanjut," katanya.
Jelasnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 14(1)Akta kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 10:47 AM
HMetro
No comments:
Post a Comment