BALIK PULAU – Penduduk di empat kawasan di daerah ini membantah keras keputusan mewujudkan pusat kuarantin dipercayai bagi menempatkan pesakit Covid-19 bukan warganegara berhampiran lokasi perumahan mereka.
Mereka terdiri penduduk di kawasan Kampung Permatang Tepi, Taman Palmyra, Kampung Permatang Tengah dan Simpang Empat Balik Pulau itu masing-masing menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan nanti.
Wakil penduduk, Ismail Kassim berkata, dia difahamkan sebanyak 400 buah katil akan dipasang di dalam dewan serbaguna yang terletak di Jalan Permatang Tepi di sini mulai esok.
Menurutnya, mereka menolak keputusan pihak berkuasa dalam menjadikan lokasi berkenaan sebagai penempatan transit bagi warga asing yang positif wabak itu biarpun berisiko rendah.
“Saya mewakili penduduk berhampiran menzahirkan rasa tidak puas hati termasuk bimbang tentang kebarangkalian penularan jangkitan wabak itu ke sini.
“Penduduk di kawasan ini tidak di maklumkan mengenai perkara itu sebelum ini tetapi hari ini kami mendapat berita mengenai pemasangan katil-katil bermula pagi esok.
“Berita ini cukup menggerunkan dan kami menggesa pihak berwajib mengalihkan pusat itu ke satu lokasi yang lebih sesuai, jauh dari kawasan penempatan penduduk serta penglibatan masyarakat setempat,” katanya.
No comments:
Post a Comment