Friday 6 November 2020

PKPB: Bekalan cukup, peniaga jangan ambil kesempatan

MOHD. Ridzuan Ab. Ghapar (tengah) meninjau bekalan makanan dan keperluan asas pengguna di sebuah pasar Raya besar di Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN


GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Daerah Barat Daya yang berkuat kuasa semalam sehingga 19 November ini.

 

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemantauan bekalan makanan dan barangan keperluan telah dilaksanakan di kawasan terlibat seperti di Bayan Baru, Sungai Ara, Batu Maung, Desa Ria dan Zon Perindustrian Bebs Fasa 3 serta 4 mulai semalam.

 

Menurutnya, pemeriksaan secara harian membabitkan premis-premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar raya besar di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada kekurangan bekalan mahupun kenaikan harga mendadak.

 

“Hasil pemantauan yang dilakukan mendapati bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKPB selain tiada berlaku sebarang pembelian panik.

 

“Kita ingatkan kepada peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dan kami akan menjalankan pemantauan dengan lebih kerap,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pemantauan bekalan di kawasan PKPB di sebuah pasar Raya besar di Bayan Baru di sini semalam.

 

Beliau memberitahu, pihaknya juga telah melakukan sebanyak 37,902 pemeriksaan  membabitkan lima daerah di negeri ini sejak 1 Januari sehingga 30 Oktober lalu.

 

Selain itu, katanya, KPDNHEP juga giat memantau bekalan topeng muka dan cecair pembersih tangan yang dipasarkan di negeri ini.

 

“Sehingga semalam, sebanyak 3,384 pemeriksaan telah dilaksanakan ke atas premis yang menjual topeng muka dan 2,491 premis menjual cecair pembersih tangan.

 

“Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat peniaga melakukan kesalahan menaikkan harga barangan atau cuba menyorokkan barang kawalan,” ujarnya.

 

– UTUSAN

No comments:

Post a Comment