Monday 2 November 2020

Mujahid Yusof Ke Bukit Aman disiasat Akta Hasutan


 Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini.


Ia dipercayai berhubung kenyataan beliau yang mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.



Mujahid menerusi akaun Facebook miliknya hari ini, mengesahkan dipanggil ke Bukit Aman bagi diambil keterangan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut meminta pengikut Facebooknya mendoakan semoga semuanya dipermudahkan.


Siasatan ke atas beliau dipercayai dilakukan susulan laporan polis yang dibuat terhadap beliau pada Mac lalu kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu selain kenyataan berbaur hasutan.


Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang dihubungi, hari ini mengesahkan perkara itu.


"Ya, (diminta hadir beri keterangan) pada 5.30 petang ini.


"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948," katanya.


Terdahulu, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.


Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu


BH

No comments:

Post a Comment