BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, merampas 83,988 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku dari India bernilai lebih RM1 juta kerana tidak mematuhi syarat permit import, dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Selasa lepas.
Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata pemeriksaan rutin oleh anggota penguat kuasa agensi itu pada 4.20 petang mendapati, kesemua tiga buah kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku itu tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan MAQIS.
“Berikutan itu kami merampas semua konsainan tersebut untuk tindakan selanjutnya, kerana kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan menurut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya pihak MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment