Wednesday 4 November 2020

Lima termasuk empat sekeluarga maut dalam kebakaran


KLANG: Empat sekeluarga maut dalam keadaan menyayat hati apabila ditemukan rentung setelah kediaman mereka terbakar dalam kejadian melibatkan lima deretan rumah di Lorong Mokhtar Kampung Delek Kanan di sini semalam.

 

Dalam kebakaran itu, Fauzi Daut, 44 dan isterinya yang merupakan warga Kemboja, Sarimah Yusuf, 37, kakak kepada Fauzi iaitu Fauziah, 50, ditemukan di bilik air manakala anak saudara mereka, Mohd. Amirudin Ali, 12, di luar pintu tandas.

 

Malah, turut terkorban dalam kebakaran tersebut ialah Ubadilah Ayob, 48, yang juga merupakan warga Kemboja ditemukan dalam kolam di bilik airnya selepas dipercayai lemas akibat terhidu asap.

 

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan suami isteri tersebut adalah peniaga pakaian terpakai dan menyewa rumah tersebut lebih 10 tahun lalu.

 

Menurutnya, Fauziah yang baharu sehari tiba dari Terengganu berada di rumah tersebut manakala Mohd. Amirudin pula ditinggalkan sementara di situ berikutan ibu bapa mereka bekerja.

 

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati kesemua mereka memilih bilik air sebagai lokasi menyelamatkan diri selepas panik tidak menemukan kunci pintu dapur.

 

“Kita tidak menolak kemungkinan kebakaran bermula di rumah Ubadilah yang mempunyai aktiviti kedai memasak kerana mempunyai peralatan elektrik seperti ketuhar. Malah, kelewatan penduduk menghubungi pasukan bomba menyebabkan semua mangsa maut dalam kebakaran tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Norazam berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati sebelum kejadian terdengar letupan sebelum mendapati api marak dan memanggil penghuni di tiga buah rumah bersebelahan seramai lapan orang kesemuanya yang dipercayai warga Kemboja.

 

Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh saksi kebakaran melibatkan dua buah rumah terdahulu dan berdasarkan siasatan awal mendapati panggilan dibuat agak lewat kira-kira pukul 3.56 pagi sebelum anggota tiba sembilan minit kemudian mendapati kelima-lima rumah tersebut telah terbakar.

 

“Sejurus tiba di lokasi, kita dimaklumkan terdapat mangsa terperangkap dan pihak bomba cuba menyelamatkan mereka namun gagal disebabkan api yang sedang marak sebelum kebakaran berjaya dikawal pukul 4.20 pagi.

 

“Seramai 30 anggota termasuk pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar daripada lokasi kejadian kira-kira pukul 8 pagi dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” ujarnya.

 

Tambahnya, pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian sama ada daripada gas memasak atau lain-lain peralatan elektrik.

 

Difahamkan, deretan rumah sewa itu telah dibina sejak 1994 tanpa mengikut spesifikasi yang betul dengan tidak mempunyai ciri keselamatan seperti dinding pemisah antara rumah ke rumah yang menjadi faktor kebakaran mudah merebak antara satu sama lain.

 

 -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment