Wednesday 4 November 2020

Finas umum filem Roh mewakili Malaysia calon anugerah Oscars



PUTRAJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini berbesar hati mengumumkan filem Roh mewakili negara ke Anugerah Academy ke-93 pada tahun depan.

 

Menurut kenyataan agensi itu, cereka tempatan terbitan syarikat produksi Kuman Pictures Sdn. Bhd. dipilih bagi penyertaan filem asing dalam kategori International Feature Film Award.

 

Anugerah berprestij tahunan global itu yang turut dikenali sebagai Oscars, bakal berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Califiornia, Amerika Syarikat pada 25 April 2021.

 

“Pemilihan filem Roh dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas terdiri daripada para penggiat industri tempatan yang profesional dan berpengalaman,” jelas kenyataan tersebut.

 

Ia melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan muzik, skor muzik, penataan seni dan suntingan.

 

Malah Finas menambah, Roh mematuhi segala peraturan pertandingan yang ditetapkan pihak penganjur Oscars sejak kategori filem berbahasa asing itu mula diperkenalkan pada 1956 lalu.

 

“Pihak Finas sejak 2004 telah mencalonkan satu karya tempatan bagi bertanding di anugerah Oscars dalam kategori itu kerana setiap negara diminta hantar satu pencalonan,” katanya lagi.

 


Bagaimanapun, agensi itu menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada ramai penggiat industri tempatan yang berminat untuk dipertimbangkan mewakili Malaysia.

 

Setakat ini, sejumlah 31 buah negara sudah menghantar penyertaan untuk kategori itu dalam anugerah yang dianjurkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) itu.

 

“Finas sentiasa komited dalam menyokong segala usaha positif ke arah memacu industri perfileman Malaysia untuk diiktiraf ke peringkat antarabangsa,” tegas kenyataan berkenaan.

 

Roh diarahkan oleh Emir Ezwan, mengisahkan kehadiran seorang budak perempuan aneh yang bawa ramalan ngeri dan kejadian pelik kepada sebuah keluarga miskin dalam hutan.

 

Filem ini sudah memasuki pawagam pada 6 Ogos lalu selain pernah ditayangkan secara perdana di Pesta Filem Antarabangsa Singapura 2019 dan Pesta Filem Asia Indonesia 2019.

 

-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment