Thursday 5 November 2020

Ebit Lew sedih ziarah keluarga Siti Nor Surya

Ismail menangis ketika bercerita tentang Allahyarham SIti Nor Surya semasa diziarahi Ebit Lew di kediamannya di Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu, hari ini. FACEBOOK EBIT LEW


KUALA TERENGGANU: Pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew tidak dapat menahan rasa sedihnya ketika menziarahi keluarga Allahyarham Siti Nor Surya Ismail di Kampung Beladau Selat di sini hari ini.

 

Ebit Lew berkata, hatinya tersentuh melihat bapa Allahyarham, Ismail Muda, 58, terus meluru memeluknya dan menangis setibanya dia ke kediaman keluarga gadis yang ditemui mati dibunuh dalam kejadian Ahad lalu.

 

Lebih memilukan, katanya, air mata bapa kepada tujuh anak itu asyik mengalir setiap kali bercerita tentang Siti Nor Surya sambil mengakui masih terkesan dengan pemergian puterinya.

 

“Sayu pilu sangat rasa hati perginya adik Siti Nor Surya. Sampai rumah mereka, ayahnya terus datang memeluk saya menangis, terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tidak dapat menahan rasa sedih, Ya Allah.

 

“Arwah anak yang baik, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sentiasa menjaga emaknya yang sakit kanser dengan dibantu adik perempuan, malah sanggup mengorbankan pelajaran untuk menguruskan emak di rumah,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

 

Ebit Lew berkata, walaupun tahap kesihatan ibu kepada Allahyarham, Zaini Musa, 55, tidak mengizinkan tetapi wanita itu memaklumkan mengenali dirinya.

 

Beliau turut mendoakan seluruh ahli keluarga Ismail diberikan kekuatan dalam menempuhi ujian berat tersebut.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Siti Nor Surya ditemukan mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kesan kecederaan lain di muka dan badan.

 

Siti Nor Surya disifatkan rakan karibnya sebagai seorang yang baik dan gemar memasak untuk keluarga serta kenalan rapat.


- UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment