Wednesday 4 November 2020

COVID-19: Penutupan institusi pendidikan Islam di Seremban dilanjutkan sehingga 18 Nov


SEREMBAN: Kesemua 199 institusi pendidikan Islam di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di daerah Seremban, dilanjutkan penutupannya sehingga 18 Nov susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

 

JHEAINS menerusi satu kenyataan di sini hari ini, memaklumkan penutupan berkenaan merangkumi institusi pendidikan Islam berdaftar dengan jabatan itu seperti, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Kelas Agama Petang (KAP), Sekolah Rendah Islam (SRI), Tadika Islam, Sekolah Menengah Islam, Maahad Tahfiz, madrasah, pondok serta pusat pengajian yang berdaftar dengan jabatan itu.

 

“Sepanjang tempoh penutupan ini, pentadbir sekolah khususnya bagi yang menjalankan Kelas KAFA hendaklah memastikan guru-guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

 

“Pihak sekolah boleh merujuk Surat Siaran Pendidikan JHEAINS bertarikh 19 Jun 2020 tentang kaedah pelaksanaan PdP secara dalam talian dan sebarang makluman penutupan institusi pendidikan di bawah JHEAINS akan dibuat dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

 

Sebelum ini, kesemua institusi pendidikan Islam berkenaan ditutup bermula 25 Okt selepas Seremban diisytihar sebagai zon merah.

 

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB akan dilaksanakan di daerah Seremban bermula esok hingga 18 Nov, meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

 

Negeri Sembilan setakat semalam merekodkan 71 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah itu sebanyak 1,702 kes.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment