ALOR SETAR: Seramai 35 mangsa daripada 13 keluarga di daerah Kota Setar masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, di sini berikutan air di kawasan rumah mereka masih belum surut.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata PPS itu yang dibuka pada Selasa lepas, sebelum ini menempatkan 44 mangsa daripada 14 keluarga.
"Bagaimanapun, susulan cuaca bertambah baik dan paras air semakin surut, sembilan mangsa daripada satu keluarga telah pulang ke rumah mereka pada 9.30 malam tadi manakala mangsa yang lain masih ditempatkan di PPS itu sementara menunggu air di kawasan rumah mereka surut sepenuhnya.
"Di Pokok Sena, PPS Surau Kampung Permatang Limau yang dibuka Isnin lepas, menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga telah ditutup sepenuhnya pada 6 petang semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak tiga PPS telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti pada Isnin.
"PPS SK Malau di daerah Kubang Pasu yang menempatkan 62 mangsa daripada 15 keluarga telah ditutup pukul 12 tengah hari semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang berikutan air surut kembali," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment