Friday, 30 October 2020

UMNO junjung titah Agong, PRU perlu lepas #covid19 - Zahid Hamidi


Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi mewujudkan kerajaan yang stabil setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di tahap minimum.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.

“Maka, semua anggota kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno di sini malam tadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan Umno terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan mereka sebelum ini berhubung kepentingan gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional dalam berdepan dengan Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Beliau turut mengulangi parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya Umno turut memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan, antaranya isu pelanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Lantaran itu, Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan Umno dalam mendukung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya pendirian Umno dalam perkara itu masih dipersoalkan, parti itu tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kepentingan rakyat. — Bernama


No comments:

Post a Comment