Thursday 29 October 2020

Pulau Pinang harap operasi saringan babit empat kluster COVID-19 diteruskan

 


October 29, 2020

JAWI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap operasi saringan melibatkan Kluster Penjara Reman Pulau Pinang, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Bayan dan Kluster Alma dapat diteruskan secara bersepadu memandangkan kes positif COVID-19 harian di seluruh negara masih meningkat dalam tiga angka.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian pada sidang media bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud semasa melakukan operasi pemeriksaan mengejut berhubung amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal di sini pada 29 Oktober 2020.

“Pada kita (Pulau Pinang), paling penting operasi saringan itu diteruskan (yang mana) ada kluster,” tegasnya yang juga ADUN Datuk Keramat sambil merakamkan penghargaan atas komitmen semua anggota barisan hadapan di negeri ini.

Menurut sumber KKM, sehingga 28 Oktober 2020 seramai 2,964 orang dalam kalangan Kluster Penjara Reman Pulau Pinang dekat George Town telahpun disaring; dan 461 kes adalah positif COVID-19.

Bagi Kluster Penjara Seberang Perai dekat Jawi pula, 3,392 orang telahpun disaring dan 256 adalah kes positif.

Sementara itu, hasil saringan 578 orang bagi Kluster Bayan pula menyaksikan 24 kes positif.

Manakala bagi kluster baharu iaitu Kluster Alma, 592 orang telahpun disaring dan 36 direkodkan positif.

Jumlah keseluruhan kes di seluruh negara sehingga 28 Oktober 2022 dicatatkan sebanyak 29,411 dengan pertambahan 801 kes baharu.

Daripada jumlah itu, bilangan keseluruhan kes di Pulau Pinang sehingga semalam adalah sebanyak 925 dengan 13 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP akan meningkatkan operasi pemantauan terutama di kawasan berisiko tinggi iaitu di sekitar kawasan empat kluster berkenaan.

Berucap selepas itu, Rozali memberitahu MBSP sejak minggu lepas telah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan KKM demi merosotkan angka kes baharu COVID-19 di bahagian Seberang Perai.

“Atas individu (yang tidak patuh SOP), penguatkuasaan oleh PDRM, manakala atas premis pula kita (MBSP) akan ambil tindakan… (termasuk) rampas (aset) serta tamatkan lesen (premis perniagaan) mereka,” tegasnya.

Selain itu, menurutnya, segala aktiviti gotong-royong dihentikan serta-merta kecuali di lokaliti berkaitan wabak denggi dan chikungunya.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Mooi Lye memberitahu bahawa kontroversi isu pekerja-pekerja asing yang telahpun disaring dalam kalangan Kluster Alma serta dikuarantin di rumah dan asrama tanpa memakai ‘gelang merah jambu’ telahpun dipanjangkan kepada pihak KKM.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep mengumumkan hasil pemantauan sehingga 28 Oktober 2020 ke atas 388,689 premis yang dilakukan MBPP di bahagian Pulau mendapati bahawa kadar pematuhan SOP pada angka 99.69 peratus.

Di bahagian Seberang Perai pula, tambah beliau, hasil pemantauan MBSP ke atas 614,832 premis mendapati kadar pematuhan pada angka 99.34 peratus; iaitu hanya 0.66 peratus atau 4,082 premis dikenal pasti tidak mematuhi SOP secara holistik.

Pada majlis sama, Jagdeep turut mengedarkan bungkusan pelitup muka kepada ‘Wira Oren’ MBSP di sekitar Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal di sini. 

Sumber Buletin Mutiara

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

No comments:

Post a Comment