BALING: Seorang pekerja
kilang mengamuk dan cuba menghayun cangkul ke arah anggota polis apabila tidak
dibenarkan keluar dari Kampung Padang Che Mas yang dikenakan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Ketua Polis Daerah
Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, sebelum kejadian lelaki yang
berusia 43 tahun mengambil gambar anggota di sekatan jalan raya di kampung
tersebut pada jam 10.40 pagi tadi.
"Anggota polis
mengekori suspek sehingga di hadapan rumahnya dan bertanya kepada lelaki
berkenaan berhubung gambar tersebut.
"Dia tiba-tiba
memarahi anggota polis sebelum masuk ke dalam rumahnya dan keluar sambil
membawa sebatang cangkul menuju ke arah salah seorang anggota polis,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki itu
juga cuba menghayun cangkul itu ke arah anggota itu tetapi dihalang beberapa
anggota lain dan turut bergelut ketika cuba ditahan sebelum ditangkap polis di
hadapan rumahnya.
"Siasatan awal
mendapati lelaki itu mengambil gambar anggota bertugas kerana mahu membuat
aduan selepas tidak berpuas hati anggota bertugas tidak membenarkannya keluar
dari kampung itu," katanya.
"Kita juga mendapati
dia tidak tergolong dalam kebenaran untuk keluar seperti ditetapkan prosedur
operasi standard (SOP) PKPB," katanya.
Katanya, lelaki yang
sudah berkahwin itu ditahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan cangkul
berkenaan turut dirampas.
"Ujian saringan air
kencing negatif dan suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Dia akan
dibawa untuk proses permohonan reman di mahkamah esok," katanya.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment