KULIM: Suspek amuk yang
menyerang dua wanita termasuk warga emas menggunakan parang dan besi di Kampung
Merbuk Selarong Panjang kelmarin diberkas kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim,
Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai
warga Thailand ditahan anggota rondaan cegah jenayah Balai Sungai Kob dengan
bantuan orang awam di Kampung Jalan Baru Sedim selepas mengamuk di sebuah rumah
sehingga merosakkan dua buah motosikal kelmarin.
Menurutnya, suspek
merupakan penganggur, mengaku terlibat dalam kejadian amuk terbabit dengan
menyerang dua wanita menggunakan sebilah parang dan sebatang besi.
"Turut dirampas,
sebilah parang panjang berukuran 53 sentimeter dipercayai digunakan untuk
menyerang mangsa," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, dalam
kejadian pada jam 7 petang itu, mangsa mendakwa, suspek yang tidak dikenali
secara tiba-tiba muncul di rumahnya sebelum menyerang mangsa berusia 35 tahun
dan neneknya berusia 86 tahun yang ketika itu sedang menonton televisyen di
ruang tamu.
Sebilah parang panjang
yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian amuk dirampas. (Gambar kecil:
Azhar Hashim)
"Suspek dikatakan
telah mengacukan parang dan cuba menikam, namun mangsa sempat mengelak.
"Suspek kemudian
mengacukan parang ke arah nenek mangsa, bagaimanapun berjaya dihalang.
"Ketika keluar dari
rumah terbabit, suspek merosakkan dua buah motosikal jenis Honda RS dan Yamaha
R25 milik adik dan ibu saudara mangsa menggunakan parang sebelum melarikan
diri," katanya.
Menurutnya, suspek
berjaya dikesan dengan bantuan orang awam malam tadi dan direman selama empat
hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut
Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dan Seksyen 427
Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment