GEORGETOWN: Ujian
saringan kedua ke atas semua petugas Penjara Reman Pulau Pinang yang mempunyai
kontak rapat dengan banduan yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19)
menunjukkan keputusan negatif.
Pengarah Penjara Reman Pulau
Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, keputusan itu diperolehi semalam bagi
memastikan semua petugas yang mempunyai kontak rapat kepada banduan yang
disahkan positif tidak dijangkiti.
"Keputusan ujian
saringan kedua ke atas semua petugas Penjara Reman Pulau Pinang yang dijalankan
sebelum ini menunjukkan keputusan negatif.
"Ujian saringan
terhadap petugas yang mempunyai kontak rapat dengan banduan positif Covid-19
akan dijalankan dari masa ke masa. Ini kerana petugas-petugas ini antaranya
yang akan mengiringi doktor ketika memeriksa banduan yang disahkan
positif," katanya.
Beliau berkata demikian
ketika ditemui ketika memantau persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang malam tadi.
Menurutnya, ujian
saringan terhadap kontak rapat kepada petugas penjara akan mula dijalankan bagi
memastikan tiada jangkitan terhadap mereka.
Persiapan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang semalam.
"Ujian saringan akan
dijalankan terhadap ahli keluarga yang tinggal satu rumah dengan petugas
penjara.
"Selain itu, kita
belum mendapat punca jangkitan ini kerana ujian saringan petugas, semuanya
negatif. Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus
menjalankan siasatan selain menjalankan pemantauan dari masa ke masa,"
katanya.
Sementara itu, Ketua
Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya
akan berbincang dengan KKM dalam menguruskan pesakit yang menerima rawatan
metadon di bangunan berdekatan Penjara Reman Pulau Pinang.
"Hari pertama PKPD
yang dijalankan di sini berjalan lancar namun kita mendapati, ada ramai pesakit
datang ke Klinik Metadon Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
"Perkara ini boleh
diselesaikan dan perbincangan akan dilakukan. Saya menasihatkan semua pengguna
jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif seperti yang diumumkan selain
memberi kerjasama kepada anggota yang bertugas," katanya ketika ditemui di
lokasi PKPD Penjara Reman Pulau Pinang tadi.
Kelmarin, Menteri Kanan
Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan
ke atas penjara reman dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut.
Beliau berkata, perintah
berkenaan akan berkuat kuasa pada 15 Oktober yang membabitkan 2,306 banduan,
304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman.
Katanya, turut terbabit
ialah 220 petugas dan keluarga yang tidak menetap di dalam kuarters.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment