Monday, 26 October 2020

Pulau Pinang miliki pusat pemulihan robotik pertama

 


Kerajaan negeri Pulau Pinang menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang penjagaan kesihatan bagi meningkatkan industri pelancongan kesihatan di negeri ini dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata transformasi digital adalah cara kemajuan masa hadapan dan yakin penggunaan teknologi canggih akan mempercepatkan pemulihan dan meningkatkan jangka hayat pesakit.

"Teknologi seperti robotik, 'Internet of Things' (IoT) dan data mampu merubah perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan memberikan perkhidmatan rawatan yang lebih khusus dan tepat terhadap setiap pesakit," katanya pada sidang media, di sini, pada Ahad.

Chow sebelum itu melancarkan Pusat Robotik Otak dan Tulang Belakang Therapedic di Menara Sunrise, di sini, yang merupakan pusat pemulihan robotik pertama di wilayah utara.


Turut hadir Presiden Pelancongan Kesihatan Perubatan Pulau Pinang Dr Mary Ann Harris, Pengasas Therapedic James Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Therapedic Jennifer Lok.

Sumbangan sebanyak RM100,000 disampaikan kerajaan negeri kepada Yayasan Therapedic untuk kegunaan masyarakat dalam kategori B40 di negeri ini yang mendapatkan rawatan di pusat tersebut.

Sementara itu, Tan mendakwa pusat tersebut merupakan pusat rawatan pemulihan robotik yang menawarkan perkhidmatan dengan kos paling berpatutan di Asia Tenggara.

"Di Singapura, perkhidmatan seumpama tersebut dianggar berkos antara S$160 dan S$250 (RM491 dan RM766) setiap sesi dan sebuah lagi pusat pemulihan robotik di negara ini berkos kira-kira RM699 untuk setiap sesi rawatan," katanya.

Katanya, harga perkhidmatan di pusat itu adalah antara RM259 dan RM299 bagi setiap sesi rawatan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment