Polis Thailand menahan dua beradik lelaki dan merampas 80 kilogram ganja mampat, dipercayai untuk dihantar ke Malaysia, di Tak Bai, sebuah bandar di sempadan Thailand-Malaysia pada Selasa.
Bertindak berdasarkan maklumat, polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang sedang dalam pembinaan di Khosit, Tak Bai pada 6.20 petang (waktu tempatan).
Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 9, Mej Pol Jen Dussadee Choosangkit berkata suspek, berumur 27 dan 34 tahun, berada di dalam rumah ketika serbuan dilakukan.
“Polis menggeledah rumah terbabit dan mendapati 80 ketulan ganja mampat disembunyikan di dalam tiga karung baja,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.
Dussadee berkata suspek memberitahu polis bahawa seorang lelaki Malaysia memandu lori pikap telah menghantar dadah itu ke rumah mereka pada 26 September kira-kira 8 malam (waktu tempatan).
“Mereka dibayar 3,000 baht (RM400) sehari untuk menyimpan dadah di dalam rumah dalam pembinaan itu sementara menunggu bot untuk menghantar dadah itu ke Malaysia,” katanya. ― Bernama
No comments:
Post a Comment