Wednesday, 14 October 2020

Menteri agama, Datuk Seri Zulkifli pulih #Covid19

 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Zulkifli Mohamad mengumumkan dirinya pulih daripada jangkitan pandemik Covid-19.


Menteri hal ehwal agama itu berkata, dirinya dibenarkan keluar dari wad Hospital Tuanku Ja’far Seremban, Negeri Sembilan hari ini selepas disahkan pulih sepenuhnya.



“Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.


“Pun begitu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan saya untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” catatnya di Facebook.



Bekas mufti wilayah itu berkata beliau disarankan agar tidak menerima sebarang tetamu dan hanya boleh berkomunikasi melalui sidang video sahaja.



Katanya beliau akan menyambung tugas memantau gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah seliaannya dari rumah.


ADVERTISING


“Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor.


“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan segera mungkin,” tambahnya.


Zulkifli pada 5 Oktober lalu memohon maaf kerana dirinya disahkan positif Covid-19 namun kesihatannya dalam keadaan baik.


Beliau menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang turut melibatkan kehadirannya antara 24 September hingga 4 Oktober lalu agar segera menjalani pemeriksaan saringan Covid-19.


Disebabkan itu juga, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin rumah buat kali kedua selama 14 hari selepas mempengerusikan mesyuarat  Majlis Keselamatan Negara yang turut dihadiri Zulkifli.

No comments:

Post a Comment