Seorang jururawat di Hospital Melaka mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki warga emas yang sedang mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital itu, Sabtu lalu.
Mangsa berusia 29 tahun itu, dikatakan diganggu lelaki 'miang' berusia 60 tahun itu ketika sedang menguruskan pesakit terbabit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 5.45 petang.
Warga emas terbabit dikatakan mengeluarkan perkataan berbaur lucah ketika jururawat berkenaan sedang melakukan prosedur rawatan terhadapnya.
Susulan itu, jururawat wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku ke atas dirinya.
Salinan laporan polis itu turut tular di media sosial sejak malam kelmarin.
Menurut laporan polis berkenaan, mangsa sedang menguruskan pesakit itu dan mengambil darah dalam sebuah wad ICU hospital sebelum terkejut apabila warga emas itu mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya.
Difahamkan, lelaki itu pada mulanya menerima panggilan telefon dari seorang wanita dipercayai isterinya dan membuka pembesar suara ketika berkomunikasi.
Berdasarkan perbualan itu, pemanggil berkenaan bertanyakan apa yang sedang dilakukan sebelum dia menjawab dengan kata-kata lucah.
Tindakan itu menyebabkan jururawat terbabit panik itu memandangkan hanya dia bersama lelaki itu berada di dalam bilik berkenaan.
Tidak terhenti di situ, sejurus menamatkan panggilan, warga emas berkenaan kemudian meminta jururawat terbabit melihat saiz kateter urin yang baharu dan meminta wanita itu memasangnya.
Jururawat itu yang takut selepas mendengar 'permintaan' serta kata-kata lucah warga emas berkenaan, bagaimanapun enggan melakukannya dan meminta pesakit memasukkannya sendiri sebelum segera beredar serta mengadukan perkara itu kepada pihak atasan hospital.
Pihak atasan hospital berkenaan mengarahkan supaya laporan polis dibuat segera.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai laporan polis yang dibuat jururawat berkenaan.
Katanya, siasatan dalaman di peringkat jabatan sedang dilakukan secara komprehensif dan pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:38 PM
Oleh: Amir Mamat
#HarianMetro
#infosemasa
No comments:
Post a Comment