Tuesday 20 October 2020

MBSP tingkat pemantauan susulan kewujudan kluster Alma



BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meningkatkan pemantauan terhadap premis-premis yang menjadi lokasi tumpuan awam di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai susulan kewujudan kluster baharu iaitu Alma dalam penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

 

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, antara premis yang akan dipantau termasuk 2,012 buah restoran; 387 buah kedai gunting rambut; 17 buah rumah urut; 50 pasar malam; 18 pasar pagi serta masing-masing 180 dan 39 buah salun rambut dan salun kecantikan.

 

Pada masa sama, katanya, kerja-kerja sanitasi akan dijalankan secara lebih kerap di pasar-pasar awam dan kompleks-kompleks makanan terutama yang berisiko serta mempunyai rekod berkaitan kes positif Covid-19.

 

“Kita juga akan mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera terhadap semua peniaga, pengunjung atau pelanggan mana-mana premis yang berkaitan supaya tidak wujud lagi isu pemalsuan maklumat diri dan nombor telefon.

 

“Dalam hal ini, kelonggaran hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar tidak tahu atau tidak mampu melakukannya sahaja,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook MBSP di sini semalam.

 


Rozali berkata, tindakan drastik seperti menarik balik lesen atau menutup mana-mana premis yang dikesan ingkar atau masih berdegil untuk mematuhi arahan itu akan diambil jika pihaknya menerima aduan berterusan mengenai perkara tersebut.

 

Mengulas lanjut, kata Rozali, MBSP juga akan memperkemaskan perimeter di pasar-pasar awam serta kompleks-kompleks penjaja supaya semua pengunjung atau pelanggan masuk dan keluar melalui laluan yang disediakan sahaja selain memastikan suhu badan mereka diperiksa setiap hari bermula hari ini.

 

Tambah beliau, semua aktiviti atau gotong-royong di Seberang Perai juga perlu ditangguhkan buat sementara waktu kecuali bagi kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan terlibat dengan kes denggi atau chikugunya.

 

-UTUSAN

No comments:

Post a Comment