PUTRAJAYA: Ketua Pengarah
Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan Kementerian Kesihatan (KKM)
memanipulasikan data pandemik COVID-19 yang dilaporkan pihaknya.
Beliau berkata data
COVID-19 dikumpulkan KKM sehingga 12 tengah hari setiap hari menggunakan
sistem informasi maklumat kesihatan awam di setiap negeri.
”Ia bukan dilakukan oleh
saya seorang tetapi bersama pasukan sebalik tabir dari hari pertama (kes
COVID-19).
“Janganlah bila sifar
(kes COVID-19) dicatatkan data itu diterima. Tetapi bila 1,000 kes dicatatkan
ada pihak yang tidak terima data tersebut,” katanya menjawab soalan pemberita
pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata
perbincangan turut dilakukan dalam menentukan kluster sesuatu kes.
Malaysia hari ini
mencatatkan 1,240 kes baharu positif COVID-19, angka tertinggi sejak pandemik
itu bermula di negara ini. Ini merupakan
kali kedua Malaysia mencatatkan kes positif baharu mencecah empat angka selepas
mencatatkan 1,228 kes baharu Sabtu lepas.
Sementara itu Dr Noor
Hisham menjelaskan sidang media perkembangan COVID-19 dibatalkan pada saat
akhir semalam kerana beliau diminta membentangkan situasi terkini kes COVID-19
pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara.
“Saya berkongsi
perjalanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
(dalam menangani COVID-19) dari Disember hingga kini, perkembangan
terkini COVID-19 dan tugas-tugas di lapangan,” katanya.
Semalam, sidang media
Noor Hisham yang dijadualkan pada 5.30 petang dibatalkan pada kira-kira 3.45
petang.
Dr Noor Hisham berkata
dalam pembentangan semalam beliau turut memaklumkan mengenai jangkaan KKM iaitu
situasi COVID-19 dijangka boleh dikawal dalam tiga hingga empat minggu.
Beliau berkata dalam sesi
pembentangan itu, KKM turut ditanya mengenai vaksin dan beliau memaklumkan pada
masa ini terdapat sembilan kajian mengenai vaksin namun KKM masih belum
mendapatkan laporan yang lengkap katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment