Thursday 15 October 2020

Kerajaan Pulau Pinang diminta warta lokasi penjaja tanpa lesen sebagai kawasan sah


GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang dicadangkan supaya menambah baik aspek pemutihan terhadap penjaja tanpa lesen di negeri ini dengan mewartakan lokasi perniagaan mereka sebagai kawasan penjaja yang sah.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata langkah itu sesuai dengan keadaan semasa akibat pandemik COVID-19 yang turut dialami golongan penjaja.

 

"Seperti di kawasan saya sendiri, terdapat penjaja tanpa lesen yang sudah bertahun lamanya berniaga dan masih mengunakan khemah dengan tanpa kelengkapan dan infrastruktur sempurna serta tiada bekalan air sah.

 

“Bagi kawasan-kawasan penjaja seperti ini, adalah lebih baik sekiranya prosedur operasi  standard (SOP) pemutihan pihak berkuasa tempatan (PBT) diubah dengan menyediakan penjaja terlibat kelengkapan perniagaan dengan kos minimum serta lokasi bersesuaian dan selamat,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

 

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata langkah pemutihan terhadap penjaja yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu turut mengambil kira faktor keselamatan penjaja.

 

“Bagaimanapun, saya bersetuju dengan saranan  tersebut dan ia  boleh ditambah baik dan saya meminta Seberang Jaya memberikan senarai lokasi kawasan penjaja yang dimaksudkan supaya kita boleh membantu,” katanya

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment