Seekor buaya tembaga seberat 70 kilogram berjaya ditangkap sekumpulan pemancing di kawasan lombong tinggal di Kampung Ladang Sentosa di sini, petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata reptilia berukuran 2.3 meter itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)Terengganu hari ini.
Menurut beliau, sekumpulan pemancing yang juga penduduk kampung berkenaan memasang perangkap buaya yang sebelum itu cuba menyambar kaki salah seorang daripada pemancing di kawasan berkenaan.
“Mereka juga telah menghubungi pihak APM pada pukul 5.45 petang semalam. Pihak kami (APM) datang ke lokasi dan membawa buaya tersebut ke pejabat APM di sini untuk diserahkan kepada pihak Perhilitan,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat APM Terengganu, di sini hari ini.
Che Adam berkata tangkapan buaya itu adalah yang pertama kali sejak tangkapan seekor buaya di Kampung Seberang Takir pada 2017.
Katanya, perubahan monsun dan cuaca yang tidak menentu pada masa ini menyebabkan reptilia seperti buaya dan ular mencari habitat baharu apabila kawasan habitat asal mula dipenuhi air.
“Kita nasihat orang ramai dan peminat rekreasi seperti pemancing yang mengunjungi tempat-tempat rekreasi untuk lebih berhati-hati dengan kehadiran haiwan-haiwan reptilia ini ketika musim peralihan monsun ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama berkata buaya tembaga tersebut akan dilepaskan ke kawasan habitat yang bersesuaian dalam masa terdekat. — Bernama
No comments:
Post a Comment