KUALA LUMPUR: Anak bekas
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam telah memfailkan rayuan
bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan
terhadapnya atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Jun lalu.
Perkara itu dimaklumkan
peguam Muaz Zafar yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 32, selepas pengurusan kes
itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Maryam Jamielah Ab. Manaff di Mahkamah
Tinggi di sini hari ini.
“Pihak kami telah
memfailkan notis rayuan tersebut sekitar Jun lalu dan pada masa sama turut menunggu nota keterangan dan alasan
penghakiman untuk kes itu.
“Mahkamah kemudian
menetapkan 13 November ini untuk sebutan pengurusan kes seterusnya,” katanya.
Turut hadir dalam
prosiding itu Ahmad Saiful Islam selaku
perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi selaku responden.
Pada 24 Jun lalu,
Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahmad Saiful Islam selepas didapati
bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun
lepas.
Majistret Mohamad Aizat
Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal
menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan
Ahmad Saiful menjalani hukuman penjara
itu bermula pada tarikh itu dan mengarahkannya menjalani dua tahun awasan di
bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani
hukuman penjara itu.
Mohamad Aizat ketika
membuat keputusan itu berkata keterangan tertuduh tidak disokong oleh mana-mana
bukti lain dan menjadikan versi pembelaan tidak boleh dipercayai.
Mahkamah bagaimanapun
membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara
sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh
membayar jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain
melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Mengikut pertuduhan,
Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC, di sebuah hotel di
sini, pukul 2.05 pagi pada 5 Januari 2019.
Dia dituduh mengikut
Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman maksimum
penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Pada 3 Januari lalu,
mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam membela diri terhadap pertuduhan itu.
Seramai enam saksi
pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam
perbicaraan kes itu yang bermula 15 Oktober tahun lepas.
– K! ONLINE
No comments:
Post a Comment