KUALA LUMPUR: Langkah
meneruskan penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan Sukan Para Sukma
pada Mac dan April tahun depan adalah bagi memastikan kesinambungan latihan
kepada atlet pelapis negara.
Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun terdapat kebimbangan
terhadap pandemik Covid-19, temasya sukan dwitahunan tempatan itu adalah
platfom pendedahan terbaik buat atlet muda sebelum menyertai kejohanan lebih
besar seperti Sukan Olimpik.
“Wabak Covid-19 adalah
cabaran yang bukan hanya dihadapi Malaysia, tetapi seluruh dunia.
“Maka, sebab itulah
kejohanan itu masih lagi diteruskan kerana kami melihat bahawa perlu adanya
latihan di peringkat negeri-negeri membabitkan atlet pelapis,” katanya pada
sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan
tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong mengenai perancangan kementeriannya dalam
memastikan pelapis atau bakat muda dapat dicungkil dan diserap ke pasukan
kebangsaan susulan pandemik Covid-19 yang menyukarkan sesuatu latihan
dijalankan.
Menurut beliau, kejohanan
secara dalam talian juga dijalankan bagi memastikan kebolehsaingan atlet negara
dapat diteruskan.
“Contohnya, acara terjun,
walaupun tidak boleh ke luar negara, tidak dapat penyertaan atlet luar negara
ke negara kita, tetapi kita telah usaha untuk lakukan kejohanan terjun secara
dalam talian yang disertai oleh beberapa atlet negara luar, dan lakukan
terjunan yang dinilai oleh juri dari negara-negara lain.
“Secara tidak langsung,
ini adalah satu daripada usaha untuk mengekalkan daya saing atlet tersebut dan
atlet dapat keupayaan untuk mencapai prestasi puncak dalam sukan RTT (Road To
Tokyo) atau Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment