Sebuah kereta api elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang dekat sini, hari ini.
Seorang penumpang komuter cedera manakala 29 penumpang Komuter dan 93 penumpang ETS tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata tren komuter itu sedang dalam
perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar yang menuju ke Stesen KL Sentral pada 6.37 petang.
"Satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain.
“Kita jangkakan akan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut," tambahnya lagi.
Beliau berkata, penumpang komuter yang cedera ringan di tangan itu telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh.
Para penumpang ETS yang terbabit juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Kamarulzaman turut menambah pihaknya sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih di lokasi kejadian.
"Siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian", katanya lagi.
Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan mengenai siasatan itu.
Tamat
- KTM Berhad
No comments:
Post a Comment