Saturday, 5 September 2020

#Juru Penduduk minta permit kuari Bukit Juru tak diperbaharui


Kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk lima kampung di Sungai Sembilang di sini, menggesa kerajaan negeri menghentikan operasi kuari di Bukit Juru dan tidak lagi memperbaharui lesen atau permitnya.

Ini berikut impak buruk kepada alam sekitar dan kesihatan yang dialami penduduk.Difahamkan, lesen kerja operasi kuari itu akan tamat akhir tahun ini dan ia perlu diperbaharui setiap tiga tahun sekali.

Wakil Penduduk, Anuar Ab Hamid, 67, berkata sepanjang operasi kuari itu, mereka terpaksa menerima kesan buruk ekoran pencemaran dan kesihatan terjejas."Bayangkan 30 tahun lalu, terdapat kawasan pantai dan sawah padi indah di sini namun apabila aktiviti kuari dilakukan secara besar-besaran, semuanya lenyap.



"Saya pernah memperjuangkan beberapa kali isu ini untuk perhatian semua malangnya suara saya tidak didengari dan kini sudah tidak tahan lagi," katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan berhubung isu terbabit di sini, hari ini.

Anuar berkata, penduduk mahu kilang batu menjalankan operasi kuari itu ditutup dan lesen mereka tidak diperbaharui kerana sudah tidak sanggup melihat Bukit Juru digondol hingga memberi kesan kepada penduduk.

"Kami juga dapat tahu tiga plot tanah berkeluasan 12.788 hektar diberikan untuk operasi kuari ini dipajak hingga 2042.


"Jika sekarang pun sudah tidak tahan melaluinya, bagaimana generasi akan datang menghadapi perkara ini dalam tempoh 42 tahun lagi," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Ariff Md Basir, 46, berkata mereka turut dibebankan masalah kerosakan rumah setiap kali aktiviti letupan batu dilakukan.

"Setiap kali mereka letupkan batu, pasti ada sahaja rumah rosak dan retak hingga penduduk terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk baik pulih.

"Itu belum kira antara 100 hingga 150 lori muatan berat setiap hari melalui kawasan hingga merosakkan jalan raya," katanya.Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, berkata beliau akan membawa semua pandangan berhubung isu itu untuk perhatian kerajaan negeri.

"Saya bersetuju supaya kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen atau permit kerana tiada satu pun kebaikan diterima penduduk sejak operasi kuari bermula secara besar-besaran antara 1980 hingga 1985.

"Penduduk sudah terlalu sengsara hidup dalam pencemaran udara, habuk dan gegaran letupan batu tambahan pula Bukit Juru satu-satunya bukit yang masih wujud di Bukit Tengah yang ia juga kawasan hutan simpan.

"Justeru, sekiranya operasi kuari masih lagi dibenarkan, saya percaya dalam jangka panjang Bukit Juru dengan segala keindahannya akan lenyap," katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment