Sunday, 6 September 2020

Guru maut kemalangan di Miri selamat dikebumi di Cheruk Tok Kun.




MUHAMMAD Faisal Mohd. Noor di pusara arwah isterinya, Nur Anisah Othman yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang awal pagi semalam.


BUKIT MERTAJAM: Suami kepada guru, Nur Anisah Othman, 29, yang maut dalam kemalangan di Miri, Sarawak Khamis lalu menyifatkan arwah seorang yang sangat disayangi dan manja dengan ahli keluarga serta rakan-rakannya.


Muhammad Faisal Mohd. Noor, 32, berkata, dia juga tidak akan melupakan kenangan terakhir bersama arwah semasa menyambut ulang tahun perkahwinan pertama mereka 16 Ogos lalu. 


“Ketika kami berada di kampung, saya menghadiahkan bunga kepada arwah menerusi ‘suprise delivery’ dan dia yang sememangnya gemarkan kejutan amat gembira sehingga menangis.


“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ketika menghantarnya ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Miri, Sarawak.


“Arwah sememangnya sangat disenangi semua namun kami reda dengan takdir dan ketentuan Allah SWT,” katanya kepada pemberita di sini awal pagi semalam.


Khamis lalu, Nur Anisah, guru Sekolah Rendah Kebangsaan Lio Mato, Baram maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga rakannya terjunam ke dalam gaung di Kampung Long San kira-kira 220 kilometer dari Miri, Sarawak.


Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas tamat tempoh kuarantin di sebuah hotel.


Jenazah Nur Anisah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Cherok Tok Kun, di sini kira-kira pukul 2 pagi semalam sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur.


Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, arwah yang sudah enam tahun mengajar di Sarawak beberapa kali memohon pertukaran ke Semenanjung namun gagal.

Kredit Utusan Malaysia

“Memang menjadi impian arwah untuk kembali mengajar di sini malah kami sudah merancang untuk mendapatkan rumah dan membina keluarga bersama.


“Saya rasa ini juga adalah impian setiap guru yang berada di pedalaman iaitu mahu bersama keluarga masing-masing dan diharapkan Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius akan isu ini,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment