Thursday, 27 August 2020

PERKESO saran penghantar makanan carum skim keselamatan


Seramai 2,544 penghantar (riders) Foodpanda seluruh negara kini menerima manfaat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) hasil caruman oleh syarikat Foodpanda Malaysia.

Pengarah Urusan syarikat itu Sayantan Das berkata caruman berjumlah RM199,958.40 telah diserahkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai penghargaan kepada para penghantar Foodpanda serta komitmen bagi kebajikan mereka dengan memberi perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kejadian luar jangka ketika bekerja.

"Kesihatan dan keselamatan para riders kami adalah keutamaan kami.. Pada awal tahun lepas, kami melancarkan polisi insurans yang bukan sahaja melindungi riders semasa mereka bertugas malah melindungi mereka 24 jam sehari.

"Sumbangan kami kepada Perkeso adalah salah satu inisiatif kami untuk para riders, dan kami sentiasa komited memberikan yang terbaik kepada semua riders kami," katanya dalam satu kenyataan Jumaat malam.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama dengan syarikat peneraju platform makanan dalam talian itu merupakan satu pendekatan progresif bagi memperluaskan jaringan keselamatan sosial di kalangan penghantar barangan dan makanan yang bekerja sendiri.

Katanya Perkeso melalui SKSPS menyediakan perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri, melibatkan 20 sektor tidak formal termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), yang mula dikuatkuasa sejak 1 Jun 2017 secara berperingkat bermula dengan sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.

SKSPS juga memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja termasuk tanggungan mereka jika belaku kematian berkaitan bencana pekerjaan.

Antara faedah yang disediakan melalui skim itu adalah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment