Tuesday 4 August 2020

Dr Mahathir jadi punca saya keluar PKR - Kenny Chua

 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua Teck Ho mengakui usaha meminda perlembagaan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah salah satu punca beliau meninggalkan PKR awal minggu lalu.

“Ia bertentangan dengan prinsip saya untuk bersama dalam kerajaan negeri yang ditadbir Warisan yang terang-terangan menyatakan sokongannya kepada Dr Mahathir.

“Malah, mereka dikatakan telah bersedia untuk meminda perlembagaannya bagi membawa masuk beliau (Dr Mahathir) ke dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut Chua, punca kehilangan kepercayaan beliau terhadap Pakatan Harapan bermula sejak kenyataan rasmi sokongan dibuat pentadbiran negeri itu sebelum ini.



“Disebabkan sokongan terhadap Dr Mahathir itu, saya sebagai salah seorang anggota pentadbiran negeri dan sebagai Naib Presiden PKR Sabah seringkali disoal oleh orang ramai dan juga penyokong PKR di Sabah.

“Saya memahami sentimen negatif yang disuarakan kebanyakan rakyat Sabah terhadap Dr Mahathir sehingga ke hari ini, berpunca daripada apa yang telah dilakukannya di negeri ini sebelum ini,” katanya.

Tambah Chua, ketidakadilan menjadi salah satu daripada punca yang membawa kepada tindakan drastik beliau itu.

“Sebelum Warisan tertubuh, kami PKR dan DAP telah berjuang melawan Kerajaan Persekutuan.

“Selepas Warisan ditubuhkan, pada pilihanraya umum yang lepas mereka datang kepada kami meminta sokongan agar dapat memperoleh kerusi majoriti dan kami telah korbankan kerusi tradisi kami kepada mereka.” tegasnya.

Chua mendakwa ketidakadilan berlaku terhadap ahli-ahli parti Warisan sendiri dan terhadap mereka yang berkhidmat sebagai pemimpin komuniti.

“Jangan tanya pada pemimpin-pemimpin parti, mereka selalu bercakap perkara yang baik-baik, tanya ahli-ahli parti di akar umbi dan mereka yang berkhidmat sebagai pemimpin komuniti,” katanya.

Jelas Chua lagi, beliau benar-benar ingin melihat Warisan memulangkan semula kerusi-kerusi yang ditandingi mereka sebelum ini kepada PKR Sabah kerana mendakwa PKR memiliki ramai calon-calon yang lebih berpotensi.

AWANI

No comments:

Post a Comment