Thursday, 2 July 2020

Sekolah Agama,Madrasah Tahfiz dibenarkan buka mulai 15 julai - Dr Zulkifli

Sekolah agama dan madrasah tahfiz di seluruh negara yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai depan secara berperingkat seperti diumumkan KPM semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum beroperasi semula.


“Insyaallah (sekolah agama & tahfiz) akan termasuk. Kita bahagi dua sekolah agama yang berdaftar di peringkat negeri dan kementerian akan ikut.


“Kepada sekolah atau tahfiz yang tidak berdaftar dia hendaklah mohon kepada kerajaan negeri untuk dapatkan persetujuan,” kata Zulkifli kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Zulkifli berkata pembukaan sekolah agama dan madrasah tahfiz itu nanti tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikemukakan KPM agar rantaian COVID-19 dapat ditamatkan.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pelajar Tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid tahun 5 dan 6 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Manakala pembukaan sekolah bagi murid Tahun 1 hingga 4 adalah pada minggu seterusnya iaitu 22 Julai 2020. – AlHijrah Online

No comments:

Post a Comment