Wednesday 15 July 2020

#Perai Jurujual dicekik,disamun dalam lif


Seorang jurujual lelaki kerugian RM25,000 selepas disamun tiga individu tidak dikenali ketika berada dalam lif untuk ke rumah rakannya dekat Bandar Perai Jaya, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu mangsa berusia 27 tahun yang menyewa di Jelutong mahu bertemu rakannya yang tinggal di tingkat 16 sebelum didatangi tiga lelaki yang masuk bersamanya di dalam lif berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata seorang daripada suspek menegur mangsa sebelum lehernya dicekik.

"Berlaku pergelutan apabila mangsa cuba menyelamatkan dirinya sebelum suspek menumbuk pipi serta mulut mangsa lalu mengambil barangan peribadi mangsa seperti dompet, kunci kereta dan telefon pintar.

"Selepas tiba di tingkat 21 mangsa terus keluar dan turun ke tingkat 16 dalam keadaan kesakitan untuk memaklumkan kejadian itu kepada rakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa ditemani rakannya membuat laporan polis dan pulang ke rumah sewanya untuk mengambil kunci pendua kereta.

"Bagaimanapun selepas dia datang semula ke rumah rakannya didapati kereta Toyota Vios miliknya yang diparkir di kawasan terbuka flat berkenaan hilang.

"Mangsa mengalami kerugian RM25,000 selepas pelbagai barangan berharga, dokumen peribadi termasuk keretanya dilarikan suspek," katanya.

Shafee berkata, siasatan yang dilakukan di lokasi kejadian mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di luar lif tidak berfungsi.

"Mangsa memaklumkan ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an yang mana dua daripadanya berbadan kurus dan seorang lagi berbadan gempal dengan memiliki ketinggian yang agak sama.

"Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan," katanya.

Bharian

No comments:

Post a Comment