Sunday, 19 July 2020

#KotaDamansara Tertekan pedal, warga emas rempuh dua wanita, bayi

Gara-gara tertekan pedal minyak, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga emas merempuh dua wanita dan seorang bayi di ruang tempat mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah hospital swasta, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 5.46 petang yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah itu, lelaki berusia 62 tahun yang memandu kereta jenis Toyota tersebut sedang menunggu anaknya keluar dari pintu utama hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata selepas melihat anaknya keluar ke tempat menunggu, suspek tertekan pedal minyak keretanya, menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal lalu terbabas.


“Kenderaan tersebut terbabas dan melanggar dua wanita berusia 30 dan 35 tahun serta seorang bayi berusia sehari yang berada di tempat mengambil dan menurunkan penumpang.





“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan dan sedang dirawat di zon merah wad kecemasan hospital swasta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenderaan tersebut turut melanggar tiga lagi kereta yang diletakkan di laluan terbabit.

Nik Ezanee berkata hasil ujian saringan air kencing serta ujian alkohol yang dilakukan terhadap suspek didapati negatif.

“Suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment