Walaupun beberapa kali notis baki tertunggak yuran penyelenggaraan diberi sejak Disember 2015, ia tetap tidak diendahkan dua pemilik rumah di kondominium di Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi, Georgetown.
Berikutan sikap degil itu, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium berkenaan mengambil keputusan menyita barangan di dua unit rumah terbabit dengan bantuan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan polis.
Naib Pengerusi JMB, Khoo Boo Yeang berkata, unit rumah di tingkat satu dan lapan itu tidak pernah menjelaskan yuran penyelenggaraan kira-kira RM200 sebulan sejak hampir lima tahun lalu, yang hingga kini masing-masing berjumlah RM9,802.60 dan RM12,347.87.
Katanya, pelbagai kaedah dilakukan bagi menghubungi pemilik rumah, malah mereka sedia maklum mengenai hutang berkenaan selepas diperintah ke Tribunal Pengurusan Strata pada 2018, namun mereka tidak hadir.
"Pihak JMB tidak tahu alasan sehingga pemilik rumah mengabaikan notis tunggakan berkenaan kerana mereka tidak pernah menghubungi kami.
" Ini usaha terakhir kami iaitu meminta bantuan pihak berkenaan bagi mengeluarkan waran penahanan harta alih supaya memberi pengajaran kepada semua pemilik rumah," katanya, semalam.
Khoo ditemui ketika pelaksanaan operasi berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP Nik Ariff Long Dir serta peguam, Willie Ong.
Waran penahanan harta alih itu adalah mengikut peruntukan Seksyen 35 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Didapati unit rumah pertama mempunyai penghuni dan pemiliknya yang enggan membuka pintu turut merayu supaya diberi tempoh selama beberapa jam bagi menyelesaikan tunggakan berkenaan.
Di unit rumah kedua pula didapati tidak berpenghuni dan pihak berkuasa terpaksa menggunakan kunci pendua bagi membuka pintu kediaman berkenaan.
Sementara itu, Nik Ariff berkata, barangan dalam rumah terbabit dilabel sebelum disimpan pihak JMB selama 14 hari dan sekiranya pemilik gagal membayar baki tertunggak, barangan berkenaan akan dijual bagi melunaskan hutang.
Katanya, ia adalah kali pertama pihaknya mengeluarkan waran sitaan bagi kes sedemikian.
"Kami dihubungi pihak JMB mengenai masalah berkenaan dan tindakan ini bagi mendapatkan semula tuntutan caj selain membuat tuntutan di mahkamah atau tribunal.
"Kami hanya mengeluarkan waran selain hadir sebagai pemerhati dan proses sitaan dilakukan sepenuhnya pihak JMB," katanya.
MyMetro
No comments:
Post a Comment