Polis menahan lima lelaki yang menjadikan rumah tumpangan sebagai tempat membungkus dan mengedar dadah, dalam tiga serbuan di daerah Kemaman pada hari Sabtu dan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata kesemua suspek yang berusia 20 hingga 39 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dan hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata dalam serbuan pertama di Kampung Baru Felda Neram Sabtu lepas, polis menahan seorang penganggur berusia 39 tahun dan merampas tiga botol serbuk heroin seberat 17 gram serta satu paket heroin seberat 12 gram yang kesemuanya bernilai kira-kira RM4,500.
“Selang beberapa jam kemudian polis menyerbu sebuah lagi rumah tumpangan di Kampung Binjai dan menahan dua penganggur berusia 29 dan 30 tahun, serta merampas 1,200 biji pil kuda seberat 115 gram dan tiga paket syabu seberat 1.96 gram yang dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini semalam.
Katanya serbuan ketiga pada awal pagi tadi di Kampung Kijal di sini pula menyaksikan polis berjaya menahan dua orang peniaga ikan berumur 39 serta 20 tahun, dan merampas satu paket syabu seberat 31.48 gram bernilai kira-kira RM6,248.
Hanyan berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain telah menjalankan aktiviti berkenaan sejak beberapa bulan lepas di sekitar daerah Kemaman, dan kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39B dan 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment