Saturday, 30 May 2020

Perikatan Nasional perlu jauhi dan jauhkan Tun M - Tun Abdul Hamid Mohamad

Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

(Saya siap menulis rencana in pada 28 03 2020. Disebabkan negara sedang menghadapi wabak Covid-19, saya tidak menyiarkannya. Sekarang (29 05 2020), dua bulan telah berlalu. Perkembangan yang berlaku di kebelakangan ini menunjukkan rencana ini masih relevan. Maka, saya menaikmuatkan rencana ini tanpa apa-apa pindaan.)

Sepanjang kerjaya politiknya, Tun Dr. Mahathir sentiasa bergaduh. Tanpa mengatakan ianya justified atau tidak, senarainya bermula semenjak beliau menjadi ahli biasa UMNO; sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri (PM) kali pertama; setelah bersara; apabila menjadi PM semula dan selepas meletakkan jawatan.


Antaranya, semasa menjadi ahli UMNO biasa, beliau bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman; semasa menjadi PM kali pertama, beliau menyebabkan krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja Melayu sebanyak dua kali; menyebabkan UMNO diharamkan; menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas; bergaduh dengan Tun Musa Hitam; bergaduh dengan Tengku Razaleigh; bergaduh dengan DS Anwar; selepas bersara, marah kepada Tun Abdullah Badawi; marah kepada DS Najib; semasa menjadi PM kali kedua, bergaduh dengan DS Anwar semula; selepas meletak jawatan (2020), menyebabkan krisis Perlembagaan sekali lagi; mempersoalkan keputusan YDPA mengenai pelantikan TS Muhyiddin dan lain-lain. Itu belum lagi mengambil kira di peringkat antarabangsa.


Untuk menjatuhkan DS Najib, beliau sanggup bekerjasama dengan musuh-musuh lamanya DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu.[i] Mereka berjaya dan tumbanglah DS Najib dan bersama-samanya kerajaan BN. Tun Dr. Mahathir menjadi PM kerajaan PH sehingga jawatan itu diserahkan kepada DS Anwar, pada mulanya, kita difahamkan, selepas dua tahun.

Kita percaya perjanjian itu wujud. Itulah yang dikatakan oleh PKR, DAP dan Amanah dari awal lagi. Tun Dr. Mahathir tidak pernah menafikannya. Tetapi, dari awal lagi beliau berdolak-dalik. Ada kalanya beliau berkata boleh jadi dua tahun, boleh jadi tiga.  Ada kalanya beliau kerkata beliau akan menjadi PM selagi dikehendaki rakyat. Pernah juga beliau berkata beliau hanya boleh menyerahkan jawatan itu jika DS Anwar mempunyai majoriti dalam Parlimen. Semua itu menyebabkan orang beranggapan bahawa beliau tidak akan menyerahkan jawatan PM itu kepada DS Anwar. Apatah lagi, apabila beliau berjinak-jinak dengan DS Azmin Ali, yang semakin hari semakin lantang menentang DS Anwar, hingga menyebabkan anggapan bahawa DS Azminlah yang akan mengganti beliau.

Pada masa yang sama, untuk mengelak DS Anwar menjadi PM, penyokong-penyokong tegar Tun Dr Mahathir bergerak untuk mendapat sokongan Pas dan UMNO. Pas lebih awal memberi sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir sebagai PM sehingga Pilihan Raya Umum15 (PRU 15).  Perisytiharan ini dibuat secara terbuka olah Pas dan pertemuan antara DS Haji Hadi, Presiden Pas dan Tun Dr. Mahathir mendapat liputan media massa yang meluas.

Sepanjang masa hubungan itu berlaku, kita nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir tiada masalah menerima Pas sebagai sebuah parti komponen pakatan baru itu.



Tetapi, berlainan pula halnya dengan UMNO. Dari awal-awal lagi Tun Dr. Mahathir berkata beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO, yang dilabelnya sebagai parti perompak dan penyamun itu. Tetapi, beliau mahu ahli-ahli Parlimen UMNO melompat kepada Bersatu, walaupun ia ditentang keras oleh DS Anwar dan Lim Kit Siang. Beliau hendak menapis siapa yang hendak atau tidak hendak diambilnya. Pada suatu masa, beliau berkata beliau boleh menerima kesemua mereka, melainkan DS Najib dan DS Zahid.

Sebahagian ahli-ahli Parlimen UMNO nampak seolah-olah bersetuju dan hanya menunggu masa untuk melompat. Tetapi, sebahagian lagi mahu UMNO menyertai kumpulan baru sebagai satu parti komponen.

Penyokong-penyokong tegar Tun Dr Mahathir mengadakan pula Kongres Maruah Melayu pada 23 10 2019. Ia dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir, DS Haji Abdul Hadi Awang (DS Haji Hadi), pemimpin-pemimpin UMNO dan DS Azmin Ali (DS Azmin). DS Anwar dan Lim Kit Siang menentang hehadiran Tun Dr Mahathir di kongres itu. (Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila baca “Kongres Maruah Melayu: Yang Dirancang Dan Yang Terjadi” di laman- laman web saya.”

Dengan kehadiran beliau di kongres itu nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan Pas dan bersedia meninggalkan PH. Maka, tidak hairanlah jika Lim Kit Siang, DAP dan NGO-NGO pro-DAP begitu lantang mengkritik Tun Dr. Mahathir dan kongres itu.

Dalam keadaan itu, tidak hairan jika terdapat reaksi daripada kem DS Anwar, DAP dan Amanah. Mula-mula mereka hanya sekadar mengingatkan Tun Dr. Mahathir mengenai perjanjian di antara mereka sebelum PRU 14. Kemudian, mereka mendesak Tun Dr. Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa itu, malah mengugut untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk mencapai tujuan mereka itu.

Suara DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu juga semakin lantang menyokong peralihan kuasa itu.

Ia sampai ke kemuncak pada 21 02 2020. Dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada hari itu, mesyuarat sebulat suara memutuskan Tun Dr Mahathir akan melepaskan jawatan PM kepada DS Anwar selepas Sidang APAC dalam bulan Mei 2020, tarikhnya akan diumumkan kemudian.[ii]

Persetujuan itu tidak sedikit pun meredakan keadaan. Apa yang berlaku dalam masa seminggu selepas itu sungguh memeningkan kepala. Gerakan menubuh kerajaan baru dan menggulingkan kerajaan PH  semakin rancak.

Dua hari kemudian, pada 23 Februari 2020, terbongkar berita majoriti ahli-ahli Parlimen menyokong Tun Dr. Mahathir untuk terus menjadi PM sehingga PRU15. Mengikut perancangan itu, Tun Dr. Mahathir akan membentuk kerajaan baru dengan sokongan UMNO, PAS, Bersatu, kumpulan DS Azmin daripada PKR dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Kerajaan PH nampak akan terguling dan kerajaan baru yang diketuai Tun Dr. Mahathir, tanpa DAP, Amanah dan PKR kumpulan DS Anwar.

Jika rancangan itu berjaya, ia bereti:

1. Tun Dr. Mahathir berjaya memecahbelahkan PKR, dengan menarik kumpulan DS Azmin menyertai Bersatu.

2. PKR (kumpulan DS Anwar) akan tersingkir daripada kerajaan dan peluang DS Anwar menjadi PM sebelum PRU 15 berkecai.

3. DAP juga tersingkir daripada kerajaan. Jika dalam kempen PRU14, penceramah-penceramah DAP dengan bangga mengatakan mereka akan memperalatkan Tun Dr Mahathir, sekarang ternyata Tun Dr Mahathirlah yang memperalatkan mereka.

4. Sekali lagi, Tun Dr Mahathir mungkir janji kepada DS Anwar dan PH.


DS Anwar dan Lim Kit Siang terkejut mendengar perkembangan itu. Mengikut cerita, DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu telah pergi menemui Tun Dr Mahathir. Mengikut cerita, mereka merayu Tun Dr. Mahathir supaya terus memegang jawatan PM kerajaan PH sehingga PRU 15. Ertinya, mereka menarik balik desakan supaya Tun Dr. Mahathir menyerah jawatan PM kepada DS Anwar selepas APAC. Ertinya, mereka mengalah.

Mengapa DS Anwar dan Lim Kit Siang (Mat Sabu cuma menumpang tuah mereka) berbuat demikian? Pada masa itu, mereka tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah mempunyai sokongan majoriti, (mengikut Muafakat Nasional (MN), dua pertiga), kerajaan PH akan terkubur, kerajaan MN (kemudiannya mereka menggunakan nama Perikatan Nasional, PN) akan tertubuh dan semua menteri-menteri DAP, PKR dan Amanah akan kehilangan jawatan. Maka, mereka bersetuju Tun Dr Mahathir terus menjadi PM kerajaan PH sehingga PRU 15.



Selepas pertemuan Tun Dr. Mahathir dengan DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu, PKR, DAP dan Amanah mengeluar kenyataan bahawa mereka memberi sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir sebagai PM sehingga PRU15. Pada masa itu, nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir bersetuju untuk terus menjadi PM kerajaan PH sehingga PRU15 pula.

Tun Dr. Mahathir nampak seolah-olah sudah termakan umpan yang dihulur oleh DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu. Dengan persetujuan itu, nampaknya Tun Dr. Mahathir telah membuat U-turn dan menikam  MN dari belakang pula.

Pada 24 02 2020, peristiwa-peristiwa ini berlaku:

1. Pada jam 1.00 petang Tun Dr. Mahathir menghantar surat peletakan jawatan sebagai PM kepada YDPA.

2. Beberapa jam selepas itu, TS Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar dari PH.

3. Tun Dr. Mahathir sangat marah dengan perbuatan TS Muhyiddin dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

4. Malam itu, mesyuarat MPT Bersatu diadakan dan ia sebulat suara menolak peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu itu.[iii]

Saya percaya tetapi saya tidak pasti tarikhnya, apabila Tun Dr. Mahathir meletak jawatan, nama DS Anwar dikemukakan sebagai calon PM PH.

Pada 25 02 2020 Ahli-ahli MPT Bersatu dan TS Muhyiddin telah bertemu dengan Tun Dr. Mahathir dan memujuk beliau untuk menjadi Pengerusi Bersatu semula. Tun Dr. Mahathir bersetuju.[iv]

Di sebelah petangnya, ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas dipanggil menghadap YDPA.[v]

Pada 26 02 2020, ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PH dipanggil menghadap YDPA.[vi]

Tidak diketahui tarikhnya, tetapi, besar kemungkinan pada 25 atau 26 02 2020, nama TS Muhyiddin dikemukakan sebagai calon MN.

Pada 27 02 2020 Tun Dr. Mahathir telah dipanggil oleh YDPA dan YDPA memberitahu beliau bahawa tiada sesiapa mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai PM.[vii] Ini kerana terdapat tiga calon untuk jawatan itu, iaitu Tun Dr Mahathir yang telah meletak jawatan tetapi mahu balik jawatan itu yang mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dan sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen Bersatu; DS Anwar mewakili PH (tanpa Bersatu) dan TS Muhyiddin yang mewakili Bersatu, UMNO dan Pas.

Pada 28 02 2020 malam, PH menyatakan pendiriannya bahawa ia menyokong Tun Dr Mahathir sebagai calon PM.[viii] Ertinya, sekali lagi DS Anwar menarik balik pencalonannya sebagai PM untuk mengelak kerajaan PH  jatuh dan TS Muhyiddin menjadi PM.

Pada 29 02 2020, Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa majoriti ahli-ahli Parlimen menyokongnya.[ix] Ada cerita yang mengatakan beliau memohon untuk menghadap YDPA untuk membuktikan dakwaannya itu tetapi tidak diperkenan oleh YDPA. Jika cerita itu benar dan jika ada pembaca yang merasakan bahawa ketidakadilan telah dilakukan terhadap Tun Dr. Mahathir, memadailah sekadar saya memetik apa yang saya katakan dalam rencana saya bertajuk “Melayu Tertipu Lagi” (28 02 2020) – yang boleh didapati dalam laman-laman web saya:

“Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budibicara kepada YDPA untuk melantik seseorang menjadi PM – Perkara 40(2)(a). Perlembagaan  tidak menyebut bagaimana budibicara itu patut digunakan. Tetapi, dalam sistem berparlimen ala-British, baginda kenalah melantik seorang yang, pada pendapatnya, mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, selepas dilantik, satu undi tidak percaya mungkin dikemukakan. Jika kalah, mengikut konvensyen, PM itu akan terpaksa meletak jawatan, dan masalah itu berulang semula.”

Meneruskan naratif, Istana Negara mengumumkan TS Muhyiddin sebagai PM ke-8.[x]

Pada hari yang sama, TS Muhyiddin selaku Presiden Bersatu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Dr. Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu.[xi]

Pada 01 03 2020 TS Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia Ke-8.[xii]

Sekarang, mari kita lihat detik-detik peristiwa itu dengan lebih dekat. Walaupun, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai PM, tindakan beliau tidaklah selaras dengan seorang yang hendak mengosongkan jawatan itu untuk membolehkan YDPA melantik penggantinya, DS Anwar. Ini kerana, pertama, namanya dikemukakan semula, mula-mula untuk bersaing dengan DS Anwar dan, kemudiannya bertiga dengan TS Muhyiddin. Jika beliau ikhlas hendak menyerahkan jawatan itu kepada DS Anwar, beliau tidak sepatutnnya menjadi calon lagi. Jika ada pertandingan, ia sepatutnya hanya di antara DS Anwar dan TS Muhyiddin. Dalam keadaan itu DS Anwar mungkin mendapat majoriti dan dilantik menjadi PM ke-8.

No comments:

Post a Comment