Seramai 22 pelanggan yang sedang menikmati durian di Sungai Pinang dekat sini, termasuk pemilik tapak jualan dikompaun, ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.
Kesemua mereka berusia antara 30 hingga 64 tahun, termasuk beberapa individu bergelar Datuk. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata mereka dikenakan tindakan pada jam 6.30 petang tadi.
Katanya, pihak polis yang menjalankan rondaan mendapati kesemua individu terbabit sedang duduk berkumpul sambil menikmati durian.
"Anggota yang bertugas kemudian memperkenalkan diri dan meminta kesemua individu itu menunjukkan kad pengenalan diri.
"Daripada kesemua yang dikenakan kompaun, dua daripadanya adalah wanita," katanya.
Mengulas lanjut Anbalagan berkata, pemilik tapak jualan durian yang juga lelaki berusia 54 tahun turut diberi penerangan mengenai kesalahan yang dilakukan.
"Mereka dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) kerana duduk berkumpul," katanya lagi.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment