Friday 24 April 2020

Presiden hak asasi etnik Rohingya di Malaysia nafi tuntut hak kerakyatan

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani hari ini menafikan tuduhan bahawa beliau menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan menuntut hak sama rata dengan rakyat Malaysia seperti yang tular di media sosial.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zafar menyebut tentang beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Katanya, antara tuduhan lain ialah beliau menyifatkan orang Melayu bodoh, melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mempertikaikan tindakan penguat kuasa mengusir bot yang membawa pelarian Rohingya daripada mendarat di negara ini.

Zafar yang kelihatan sedih dan tidak sihat berkata, beliau menerima pelbagai ugutan dan kecaman, termasuk ugutan bunuh melalui telefon, WhatsApp dan Facebook berikutan tuduhan palsu itu.





Beliau berkata kecaman dan ugutan yang diterima rata-rata daripada rakyat Malaysia yang mahu menghalau pelarian Rohingya dari negara ini.

“Saya amat sedih dengan kejadian ini pada saat kita akan menyambut Ramadan. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan kerana menyuarakan penindasan terhadap Rohingya di peringkat antarabangsa.

“Sokongan daripada pelbagai pihak amat kami perlukan bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan genosid dan mengembalikan kerakyatan kepada etnik Rohingya bagi membolehkan kami pulang ke negara asal,” katanya.

“Saya berharap dengan penafian terbuka ini dan permohonan maaf daripada saya dan seluruh pelarian Rohingya di Malaysia, segala salah faham dapat diselesaikan dengan baik dan dengan kadar segera.

Beliau juga berkata, Merhrom sentiasa menasihati pelarian Rohingya yang berada di negara ini supaya mematuhi undang-undang, , menghormati antara satu sama lain dan memahami budaya masyarakat Malaysia.

Pertubuhan itu juga katanya, sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan dalam perkara berkaitan pelarian Rohingya.

Beberapa hari lalu, tular dakwaan di media sosial bahawa Mehrom menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan menuntut hak sama rata dengan rakyat Malaysia.

Dakwaan itu menyebabkan pelbagai serangan xenofobia dilakukan netizen terhadap komuniti Rohingya melalui pelbagai platform media sosial.

Dalam perkembangan sama hari ini, 2 pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan Madeline Berma, menggesa orang ramai supaya menunjukkan sikap belas kasihan kepada komuniti pelarian di negara ini kerana mereka tidak memilih untuk meninggalkan negara mereka tetapi terpaksa berbuat demikian.

Hishamudin yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata, komen atas talian dan berita yang tidak sah yang bertujuan membangkitkan rasa benci terhadap komuniti itu memperlihatkan kejahilan berhubung nasib pelarian.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita yang dikenali dengan sikap pemurah dan baik hati, perlu menunjukkan belas kasihan dan bersimpati terhadap pelarian yang tidak berdaya atas dasar kemanusiaan, selain menghormati hak asasi mereka sebagai pelarian,” katanya.

Hishamudin juga berkata, masalah yang dihadapi komuniti Rohingya diburukkan lagi oleh ketiadaan pengiktirafan rasmi berhubung status mereka sebagai pelarian.

Malaysia bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pilihan 1967.

“Kita tidak ada sistem suaka bagi mengurus status dan hak pelarian dan pencari suaka.

“Oleh sebab undang-undang Malaysia tidak membezakan antara pelarian dengan pendatang asing tanpa dokumen, pelarian berdepan risiko ditangkap dan ditahan oleh pegawai imigresen,” katanya.

Madeline berkata, krisis Covid-19 yang berlaku mendedahkan jurang dalam sistem sokongan sosial negara.

“Golongan miskin memang merupakan antara pihak yang paling terkesan, namun pekerja dan pendatang asing tanpa dokumen seperti orang Rohingya berdepan keadaan yang lebih buruk,” katanya.

sumber

No comments:

Post a Comment