Thursday 23 April 2020

PLUSRonda! wira lebuhraya

Tidak dinafikan, peranan serta pengorbanan pasukan barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, tentera dan polis amat kritikal ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Tatkala jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 telah melebihi 5,000 orang di negara ini dan lebih 2 juta orang di seluruh dunia, peranan pasukan barisan hadapan menjadi amat penting selain kerjasama orang ramai untuk terus berada di rumah dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga penghujung April ini juga dilihat sebagai strategi penting untuk memutuskan rantaian Covid-19 demi keselamatan semua.

Di antara kakitangan barisan hadapan yang tetap bertugas ketika PKP dilaksanakan adalah anggota pasukan PLUSRonda. Walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran baru terutamanya risiko Covid-19, anggota PLUSRonda tetap bersedia membuat rondaan dan memberikan bantuan kepada pelanggan lebuhraya yang mungkin terpaksa melakukan perjalanan ketika PKP.

Rutin harian pasukan PLUSRonda masih seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga dari aspek kesihatan dan keselamatan serta prosidur baru termasuklah mengamalkan penjarakan fizikal tetap diberi keutamaan ketika menjalankan tugas.



PELANGGAN LEBUHRAYA RAKAM PENGHARGAAN TERHADAP PLUSRONDA

“Anda tidak akan menghargai jasa PLUSRonda sehingga anda sendiri mengalami kesulitan di lebuhraya,” kata S. Sivaraman, seorang pelanggan lebuhraya yang pernah menerima bantuan pasukan tersebut ketika kenderaan yang dinaikinya terkandas di Ayer Keroh beberapa tahun lalu. Pada ketika itu, kenderaan yang dinaiki Siva menghadapi masalah enjin dan terpaksa berhenti di Lorong Kecemasan.


“Terkandas di Lorong Kecemasan adalah pengalaman yang amat menakutkan kerana kereta kami boleh dilanggar oleh mana-mana kenderaan lain pada bila-bila masa. Bayangkan apabila treler dan lori-lori besar menderu laju hanya beberapa meter dari kereta kami,” kata Siva apabila mengimbas kembali pengalaman beliau.

“Mujurlah saya ada menyimpan nombor talian kecemasan PLUS di dalam telefon bimbit pada ketika itu dan terus menghubungi mereka. Pasukan PLUSRonda tiba kira-kira 30 minit selepas saya menghubungi PLUS,” tambahnya.

“Sejurus berhenti, seorang daripada mereka terus meletakkan kon keselamatan dan mengibarkan bendera amaran manakala seorang lagi terus menuju ke arah kami. Setelah mengadakan pemeriksaan, terdapat kemungkinan kereta kami mengalami masalah pada ‘fuel pump’ dan PLUSRonda menawarkan bantuan untuk menunda kenderaan kami ke Plaza Tol Ayer Keroh yang terletak kira-kira 3 kilometer dari situ,” ujarnya.

Apa yang tidak dapat kami lupakan adalah apabila PLUSRonda menolak untuk menerima apa-apa bayaran atau upah perkhidmatan yang mereka berikan pada ketika itu. Saya jangka mereka hanya mahu memastikan semua pelanggan selamat dan tidak berada di lokasi yang berbahaya, itulah tugas mereka. Kami amat terhutang budi dengan ‘hero-hero’ PLUSRonda kami pada ketika itu,” tambah Siva.

Siva merupakan antara ribuan pelanggan lebuhraya yang pernah menerima bantuan pasukan PLUSRonda ketika menggunakan lebuhraya PLUS.

Sejak diperkenalkan ke dalam sistem lebuhraya PLUS pada 1 April 1990, PLUSRonda, iaitu pasukan rondaan dan bantuan lebuhraya terus sinonim dengan perkhidmatan lebuhraya PLUS. Berdasarkan rekod, pada tahun 2019 sahaja, pasukan PLUSRonda telah memberikan bantuan kepada hampir 223 ribu insiden kenderaan rosak, kes kemalangan, mengalihkan objek yang terjatuh dan haiwan ternakan berkeliaran di lebuhraya. Diperkuatkan oleh 574 anggota dari utara hingga ke selatan dan merangkumi LPT2, PLUSRonda amat sinonim dengan lebuhraya PLUS.

Berkhidmat 24-jam setiap hari tanpa mengira siang atau malam mahupun hujan lebat dan terik matahari, PLUSRonda adalah pasukan barisan hadapan PLUS yang ikonik, kental dan komited. Tidak hairanlah pasukan ini sering mendapat penghargaan dan pujian di media sosial daripada orang ramai.

Menerusi akaun Instagram seorang pelanggan lebuhraya yang dikenali sebagai ekay_ekhuan, beliau menulis, “Kereta problem di Highway, KM425.9 Ipoh-KL, Call #PLUS. Bantuan pantas dalam 10 minit tiba. Kredit CD lagu Ekay Ekhuan Retina Pelangi kepada abang-abang Polis bantuan PLUSRonda sebagai tanda penghargaan buat mereka yang membantu.”

“Terima kasih @plus_malaysia kepada #PLUSRonda petugas mereka En Mohd Zuhairi dan En Hakim kerana menjalankan tugas rutin mereka dengan baik membantu saya menggantikan tayar saya yang pancit. Tayar saya pecah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di antara Sungai Petani dan Bertam ketika dalam perjalanan nak pergi makan di Kawasan Seberang Jaya, Pulau Pinang,” tulis sepatahdua_my, di Instagram.

Malah, tidak semua bantuan yang diberikan oleh pasukan PLUSRonda berkait rapat dengan insiden kerosakan kenderaan mahupun kemalangan. Terdapat juga beberapa insiden di mana PLUSRonda yang memiliki kuasa Polis Bantuan turut menghulurkan bantuan yang menjangkaui bidang tugas mereka, termasuklah berjaya menghalang beberapa cubaan membunuh diri di Jambatan Pulau Pinang sehinggalah membantu seorang ibu melahirkan bayi di lebuh raya.


Mengimbas detik istimewa yang berlaku pada 22 Januari yang lalu, Nasrul Shah Rizan amat bersyukur dan berterima kasih anggota PLUSRonda serta seorang lagi lelaki berbangsa India yang turut sama menghulurkan bantuan.


“Memang saya dan isteri pada ketika itu dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh selepas isteri mengadu sakit. Ketika melalui NKVE kira-kira jam 12 tengahari, keadaan semakin mencemaskan dan kebetulan pula kami melihat sepasukan PLUSRonda sedang memberikan bantuan kepada sebuah lori yang rosak di lorong kecemasan di KM21. Saya terus berhenti di bahu jalan dan berlari ke arah pasukan PLUSRonda tersebut untuk meminta bantuan. Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada PLUSRonda Yusuf dan PLUSRonda Mohd Al-Amar yang telah menyambut kelahiran bayi perempuan kami sementara menunggu ketibaan ambulans,” kata Nasrul.


Namun, di sebalik keberanian dan kegigihan anggota pasukan PLUSRonda memberi bantuan kepada pelanggan lebuhraya, terdapat juga beberapa insiden yang menyedihkan apabila anggota PLUSRonda sendiri terkorban ketika menjalankan tugas. Bertugas di dalam suasana ‘live traffic’ amat berbahaya dan anggota PLUSRonda terdedah kepada kemungkinan dirempuh oleh kenderaan lain ketika memberikan bantuan atau mengalihkan objek yang tercicir di lebuh raya. Sejak penubuhannya, terdapat beberapa insiden di mana anggota PLUSRonda telah terkorban ketika menjalankan tugas mereka di lebuhraya akibat dirempuh oleh kenderaan lain ketika turun memberikan bantuan. Tanggal 19 Februari 2019, pasti menjadi titik hitam buat PLUS apabila anggota PLUSRonda, Allahyarham Aziz Siraj dirempuh oleh sebuah lori ketika turun untuk mengalihkan serpihan tayar di lebuh raya.



Bagi membendung kejadian sama berulang, PLUS dan Propel telah mewujudkan pasukan ‘Kenderaan Keselamatan’ untuk mewujudkan zon selamat sementara bagi petugas lebuhraya mengalihkan objek-objek asing di lebuh raya seperti serpihan tayar, kayu, besi dan lain-lain di dalam persekitaran yang lebih selamat dan terkawal.






Sejak penubuhannya 30 tahun yang lalu, banyak jasa dan pengorbanan pasukan PLUSRonda telah dapat direkodkan. Pasukan PLUSRonda tetap sedia berkhidmat meskipun pada ketika ini negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19. Pasukan barisan hadapan PLUSRonda ini wajar mendapat tempat yang istimewa di dalam hati setiap pelanggan lebuh raya.



Anggota PLUSRonda adalah wira yang sentiasa komited menjaga pelanggan lebuh raya sepanjang perjalanan mereka.



Terima kasih, PLUSRonda!



No comments:

Post a Comment