Sunday, 15 March 2020

Drama Band selamat dalam kemalangan di Pulau Pinang


“ALHAMDULILLAH... kami selamat dan hanya cedera,” kata penyanyi kumpulan Drama Band, Aepul Roza mengulas keadaan terkininya bersama anggota yang lain .

Terdahulu, Aepul menerusi ciapan Twitter dan perkongsian Instagramnya memberitahu, anggota Drama Band mengalami detik cemas apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan awal pagi, hari ini.

"Kejadian berlaku pada 1.30 pagi. Ketika kami dalam perjalanan dari Kedah ke Pulau Pinang.

"Malam sebelumnya kami buat persembahan di Alor Setar untuk rangka promosi bergerak Drama Band.

"Kami bergerak secara perlahan-lahan dan bukanlah tergesa-gesa," katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.


Menurutnya, kemalangan berlaku sebaik mereka melalui tempat kejadian iaitu di terowong Jalan Tunku Kudin.

"Sebuah kereta jenis Vios warna putih ambil selekoh dengan laju dan hampir melanggar kereta yang dinaiki oleh Faeez, Omei dan Adib.

"Bagaimanapun saya, Daus dan Padel yang menaiki kenderaan berasingan, kurang bernasib baik apabila dilanggar kereta terbabit.

"Selepas kejadian, kami segera keluar jumpa pemandu kereta Vios itu dan mendapati mulutnya berbau alkohol," katanya.

Aepul berkata, dalam keadaan agak kelam kabut itulah, pemandu kenderaan terbabit bersama teman wanitanya mengambil kesempatan melarikan diri tanpa disedari mereka.

"Laporan polis pun dah dibuat. Kami cuma cedera dan tak pergi hospital.

"Malam ini kami tetap akan beraksi untuk promosi bergerak Drama Band di Pulau Pinang.

"Kereta kami pun dah dihantar balik ke Kuala Lumpur untuk dibaiki," katanya.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment