Pendakwah bebas Ebit Liew memohon orang ramai berhenti menghina kumpulan tabligh.
Ebit berkata daripada memaki hamun, lebih baik mereka dinasihati secara baik serta saling berdoa.
“Sedih ada yang tulis bukan-bukan terhadap jemaah tabligh. Contohilah Datuk Zulkilfli Al Bakri dalam memberi nasihat,” coretnya di Facebook hari ini.
“Janganlah kerana segelintir beberapa orang kita hina mereka. Saya takut bila kita hina dan caci sesama kita. Azab Allah lebih cepat dan rahmat hilang.”
Sehubungan itu, Ebit turut merayu seluruh rakyat mendoakan jemaah yang didapati positif Covid-19 agar sembuh semula.
Tegasnya, doa adalah perkara yang perlu dilakukan sekarang ini berbanding “cakap bukan-bukan”.
“Siapa tahu di mana dan waktu bila nak kenakan. Tugas kita berjaga-jaga mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tingkatkan hubungan dengan Allah termasuk banyak bertaubat,” tulisnya.
Ketua pengarah kesihatan semalam memaklumkan sebanyak 41 kes Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kesemua kes baharu itu adalah dari kluster jemaah tabligh Masjid Sri Petaling.

No comments:
Post a Comment