Wednesday, 1 January 2020

Kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turun RM1.50



Kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7 bermula pada 12.01 tengah malam tadi dan kadarnya sama dengan Jambatan Pulau Pinang.

Penyeragaman harga tersebut selaras dengan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt lepas sebagai bukti keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.


Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) iaitu syarikat konsesi JSAHMS, Datuk Seri Farizan Darus berkata penyeragaman itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang dan pengguna beralih menggunakan JSAHMS.


“Selain itu, pengguna yang ingin ke bahagian pulau terutama dari kawasan selatan akan beralih ke JSAHMS bagi pemanduan lebih lancar, selesa dan selamat kerana jambatan ini tidak pernah mengalami kesesakan sepanjang ia dibuka sejak 2014 “ katanya selepas pelancaran penyeragaman kadar tol di JSAHMS, di sini malam ini.

Katanya sejak JSAHMS dibuka, seramai 32.6 juta kenderaan menggunakan jambatan itu dengan peningkatan purata jumlah kenderaan kira-kira 32 peratus setiap tahun.


“Berdasarkan statistik kami, pada tahun 2014 sebanyak 3.4 juta kenderaan menggunakan JSAHMS seterusnya 2015 sebanyak 4.8 juta kenderaan, 2016 (6.1 juta), 2017 (8.1 juta), 2018 (9.8 juta)  dan sehingga November tahun ini 9.5 juta. Kami menjangkakan tahun depan lebih banyak kenderaan menggunakan jambatan itu.

“Ketika harga tol RM8.50 pun ramai yang menggunakan JSAHMS dan saya yakin dengan penyeragaman harga iaitu RM7 sama dengan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang lebih banyak kenderaan akan guna jambatan ini (JSAHMS) malah di sini lebih menjimatkan terutama dari segi masa dan minyak kerana tiada kesesakan,” katanya.

Farizan berkata pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhi setiap peraturan dan papan tanda yang di sediakan sepanjang laluan JSAHMS serta beliau berharap orang ramai menggunakan jambatan kedua itu.

Sementara itu, rata-rata pengguna memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut kerana ia dapat mengurangkan kos berikutan kadar tol yang di kenakan sama dengan Jambatan Pulau Pinang.

Mohd Ridzuan Kamarudin, 45, berkata beliau yang tinggal di Nibong Tebal menggunakan Jambatan Pulau Pinang untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas, dekat sini dan terpaksa menempuh kesesakan jalan raya hampir setiap hari.

“Mulai Khamis ini saya boleh guna JSAHMS untuk pergi ke tempat kerja, kadar tol kini sama. Saya boleh kurangkan perbelanjaan tol dan minyak, JSAHMS lebih dekat dengan rumah saya dan jarang berlaku kesesakan,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment