Friday 13 December 2019

#KualaTerengganu Pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba terdampar

Sekumpulan 7 pelajar jurusan Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam dekat Kuala Nerus, semalam.

Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains (Biologi Marin), Mohd Nur Aiman Suhaimi, 23, berkata dia mendapat panggilan telefon daripada orang kampung yang memaklumkan penemuan itu pada 1.30 tengah hari semalam.

“Pada mulanya seakan tidak percaya kerana sepanjang pengetahuan saya, memang tidak pernah ada ikan lumba-lumba yang terdampar di pesisir pantai Terengganu sebelum ini.

“Kalau kes penyu terdampar itu memang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tapi untuk ikan lumba-lumba itu memang luar biasa. Namun, kami tetap keluar ke lokasi untuk kepastian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.



Katanya mereka mengambil masa kurang 5 minit untuk mengangkat ikan lumba-lumba itu ke kawasan air yang lebih dalam namun haiwan itu terlalu lemah dan tidak berdaya menahan hempasan ombak yang terlalu kuat.

“Saya difahamkan ikan itu terdampar di kawasan berpasir namun sempat dialihkan 2 individu ke kawasan air cetek sebelum kami tiba.

“Lebih mencemaskan kerana ikan lumba-lumba itu sudah mula mendengus dan terdapat sedikit kesan luka di bahagian kepalanya. Mujur penduduk kampung bertindak pantas menghubungi kami dan akhirnya ia berjaya berenang kembali ke lautan,” katanya yang begitu teruja dapat menemui haiwan itu buat pertama kali dalam hidupnya.

Kumpulan pelajar tersebut menunggu hampir 30 minit untuk memastikan ikan lumba-lumba itu benar-benar selamat dan tidak lagi terdampar di pesisir pantai untuk kali ke-2.

Selain Mohd Nur Aiman, 6 lagi pelajar itu ialah Akalili Zanudin, 21; Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, 22; Syakirah Sukery, 21; Farah Syahirah Ishak, 21; Syafiqah Nabilah Mutalib, 21, dan Nur Aini Othman, 21.

No comments:

Post a Comment