Wednesday 18 December 2019

#KepalaBatas Lelaki Kelar Leher Sendiri Enggan Ditahan Polis

Seorang penjenayah tegar yang enggan ditahan polis cuba membunuh diri dengan bertindak mengelar leher sendiri dalam satu insiden di rumahnya di Bagan Jermal, Butterworth dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 5 petang itu,  lelaki berusia 32 tahun tersebut yang sedang menunggang motosikal curi pada mulanya ditahan polis sebelum dia bertindak melarikan diri dan bersembunyi di dalam rumahnya di Flat Thamby Kecil.

“Polis bertindak mengejar lelaki itu sehingga ke rumahnya sebelum memecahkan pintu jeriji besi rumah berkenaan dan suspek yang ketika itu sedang memegang pisau lipat bertindak   mengelar lehernya di situ bagi mengelak ditahan, dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya akibat tindakan itu, lelaki yang mempunyai 20 rekod lampau tersebut  menerima 30 jahitan di leher dan dia kini dirawat di HSJ serta dilaporkan dalam keadaan stabil. Lelaki terbabit turut dikehendaki polis kerana terlibat dengan jenayah.



Beliau berkata hasil siasatan lelaki itu juga didapati memiliki rekod rawatan sakit jiwa di Pusat Rawatan Sakit Jiwa, Jalan Perak dan dia dihantar semula ke pusat rawatan itu bagi mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan rawatan sakit jiwa sebelum ini, lelaki itu mengalami keadaan tersebut (sakit mental) berikutan pengaruh alkohol dan dadah yang keterlaluan serta mempunyai kebiasaan cuba membunuh diri apabila ditangkap polis,” katanya.


Noorzainy berkata lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu dipercayai  terlibat sekurang-kurang 10 kes ragut di SPU dan Seberang Perai Tengah(SPT) sejak bulan lepas namun polis percaya dia turut terlibat jenayah lain seperti curi motosikal kerana motosikal digunakan semasa kejadian tersebut adalah kenderaan curi.

Dalam perkembangan lain, katanya polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun pada pukul 3 pagi Rabu lepas kerana terlibat kegiatan menyamun kedai serbaneka di  Sungai Dua.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 4 petang pada 2 Dis, lelaki itu yang memang dikehendaki polis memecah masuk kedai serbaneka berkenaan sebelum melarikan wang tunai dan kad tambah nilai.

“Lelaki yang mempunyai lima rekod lampau dan tidak bekerja itu mengaku terlibat lima kes samun kedai dan 10 kes samun sejak bulan lepas, susulan penahanannya polis turut merampas pelbagai barangan hasil kegiatan jenayah  antaranya kad bank, kad pengenalan, pisau, beg duit, cincin emas serta sebuah motosikal digunakan lelaki tersebut untuk menyamun,” katanya.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment