Monday 9 December 2019

Kantoi auta tak menjadi.






DIROMPAK dua lelaki bersenjata. Itu alasan diberikan dua pekerja restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang yang melarikan dan menyembunyikan wang jualan syarikatnya berjumlah RM122,555, hari ini.

Difahamkan, dua pekerja restoran berusia 40 dan 52 tahun itu mendakwa dirompak dua lelaki bersenjatakan parang dan pistol di Lebuh Nipah 2, Sungai Nibong, Georgetown, ketika dalam perjalanan ke bank untuk memasukkan wang hasil perniagaan restoran itu pada 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua pekerja lelaki itu mendakwa semasa menunggang motosikal di jalan berkenaan, dua suspek yang menunggang motosikal menahan mereka.

“Ketika itu mereka membawa beg berisi wang RM122,555 yang juga hasil jualan Restoran Nasi Kandar Kayu selama tiga hari.


“Pekerja berkenaan mendakwa kedua-dua suspek yang memakai rompi (vest) kuning polis menyuruh mereka turun daripada motosikal dan menyerahkan kad pengenalan masing-masing,” katanya.

Zainol berkata, kedua-dua pekerja itu mendakwa salah seorang daripada suspek mengacukan pisau manakala suspek kedua meletakkan pistol di bahagian perut.

Beliau berkata, mereka mendakwa kedua-dua suspek meminta menyerahkan beg yang berisi wang tunai berkenaan sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, susulan soal siasat dilakukan ke atas dua pekerja berkenaan mereka mengaku bahawa insiden rompakan itu hanya wayang semata-mata dan tidak berlaku.

“Mereka mendakwa wang RM122,555 itu sebenarnya berada di dalam kereta Perodua kancil yang disembunyikan sebelum berjaya ditemui polis,” katanya.

Zainol berkata, mereka mendakwa mahu melarikan wang berkenaan dan cuba mengaburi majikan mereka kononnya wang itu disamun penjenayah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 7:21 PM

Kredit Harian Metro


No comments:

Post a Comment