Thursday 24 October 2019

#KepalaBatas Cipta alat anti curi, pensyarah raih anugerah antarabangsa

Pensyarah Teknologi Pembuatan Kolej Komuniti Kepala Batas Mohd Zaki Abdul Manap menunjukkan ‘Car Anti Theft & Child Alert’ bagi menangani peningkatan kes curi kenderaan dan pecah cermin kereta. — Foto Bernama
Kolej Komuniti Kepala Batas mencipta alat antikecurian kenderaan yang dikenali sebagai ‘Car Anti Theft and Child Alert’ bagi menangani peningkatan kes curi kenderaan dan pecah cermin kereta.

Inovasi baharu ciptaan pensyarah Teknologi Pembuatan kolej itu, Mohd Zaki Abdul Manap, 43, dibantu oleh tiga pelajarnya berjaya memenangi pingat emas pada Ekspo Inovasi dan Ciptaan Antarabangsa Macao (MiiEX) 2019  yang berlangsung pada 10 hingga 13 Okt lepas.

Mohd Zaki berkata inovasi alat berkenaan yang menggabungkan penggunaan sensor Objek Rangkaian Internet bagi membantu pengguna mengesan jika berlaku sebarang pergerakan atau cubaan jenayah ke atas kenderaan mereka yang boleh dikawal dari telefon pintar menerusi satu aplikasi yang dikenali sebagai ‘MIT Inventor’.

Selain mengesan aktiviti kecurian, katanya alat itu juga dapat memberi amaran kepada ibu bapa sekiranya anak mereka tertinggal di dalam kereta.


“Idea untuk menghasilkan alat ini timbul selepas banyak kes pecah cermin kereta membabitkan pensyarah kolej komuniti ini yang kawasannya terbuka dan tidak berpagar. Di kawasan perumahan saya, kereta saya sendiri pun ada orang cuba pecahkan dan jiran yang maklumkan kepada saya,” katanya kepada Bernama.

Dari situ saya mula terfikir bagaimana kita hendak tingkatkan keselamatan kenderaan. Jadi, saya buat sistem ini apabila ada kes kecurian kita dapat peringatan sendiri, orang lain tidak perlu maklumkan. Selain itu, kita juga dengar banyak kes kanak-kanak yang lemas di dalam kereta kerana ditinggalkan oleh ibu bapa secara tidak sengaja,” katanya.

Dengan alat ini bukan sahaja masalah curi kenderaan dan pecah cermin kereta dapat dikurangkan malah dapat menangani kejadian kanak-kanak lemas di dalam kenderaan, katanya. 

Mohd Zaki yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal berkata alat itu yang mula dibangunkan sejak tahun lepas telah melalui pelbagai penambahbaikan selepas mendapat pandangan juri di mana pada peringkat permulaan ia hanya menggunakan kaedah ‘bluetooth’ yang hanya boleh dikesan dari jarak dekat sahaja.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk menambah baik alat itu yang siap sepenuhnya pada Julai lepas dengan menambah pelbagai komponen antaranya Sensor Infra Merah Pasif (PIR), Global System for Mobile (GSM) Modul, ESP32, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), siren kereta, bateri lithium dan skrin paparan hablur cecair (LCD) dengan kos RM600.

“Dengan alat ini kalau hanya masuk jari cukup dah siren akan berbunyi. Jadi, penjenayah itu tidak sempat ambil barang berharga dalam kereta. Satu lagi kanak-kanak yang tertinggal dalam kereta, katakanlah kanak-kanak itu tidur dalam kereta bila dia bergerak sahaja sensor gerakan akan kesan.

“Pengguna hanya perlu mengaktifkan aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon dan sensor yang diletakkan di dalam kereta untuk membolehkan ia berfungsi. Selepas ini saya akan naik taraf lagi dengan menggunakan sensor haba. Sensor Haba ini tidak memerlukan pergerakan untuk kesan, ia cuma mengesan menerusi haba sahaja. Jadi, tak perlu tunggu kanak-kanak itu bergerak baru boleh kesan,” katanya.

Mohd Zaki berkata antara pencapaian lain, alat itu juga berjaya meraih juara keseluruhan dalam pertandingan Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) Horizon Baharu di Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim pada Ogos lepas dan memenangi ‘Anugerah Emas Berganda’ dalam Anugerah Ciptaan Kreatif  di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tahun lepas.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya telah mendapatkan dana daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mematenkan alat tersebut yang dijangka akan diperoleh Disember ini.

Mohd Zaki berkata selepas alat itu berjaya dipatenkan, pihaknya akan menjualnya di pasaran kerana mendapat banyak permintaan terutamanya daripada kaum wanita.

Menurutnya, Kolej Komuniti Kepala Batas bercadang untuk menjalin kerjasama dengan pihak industri yang berminat untuk menghasilkan alat itu.

“Pihak polis juga memuji usaha pihak kami dan meminta kami bentangkan produk ini kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman selepas melihat keupayaan alat ini mengesan sebarang aktiviti jenayah membabitkan curi kenderaan dan pecah cermin kereta,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment