Thursday 24 October 2019

#BalikPulau penyu tempayan dilepaskan semula ke laut selepas tersangkut di pukat

Seekor penyu tempayan atau ‘Loggerhead’ yang jarang ditemui di perairan Semenanjung Malaysia dilepaskan semula ke laut, di persisiran Pantai Pasir Belanda hari ini.

Penyu betina yang cengkerangnya berukuran 111 sentimeter (cm), lebar berukuran 17 cm dan berat melebihi 60 kilogram itu ditemui seorang nelayan Ang Ta Lim, 46, tersangkut pada pukat yang dibuang nelayan lain berdekatan Pulau Kendi di sini 7 Sept lepas.


Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang Noraisyah Abu Bakar berkata penemuan penyu spesis Loggerhead itu sesuatu yang luar biasa, kerana spesis tersebut tidak berasal dari kawasan perairan Malaysia.




“Ini merupakan kali kedua spesis ini ditemui di Malaysia... kali pertama ia direkodkan ditemui di Sarawak. Kebiasaannya ia mendiami kawasan di perairan Lautan Hindi, Mediterranean, Atlantik dan Pasifik.

“Nelayan telah cuba melepaskan penyu tersebut daripada pukat namun apabila dilepaskan, penyu itu didapati tidak mampu berenang dengan baik, jadi beliau telah mengambil penyu itu dan menghubungi Jabatan Perikanan dan memaklumkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan penyu itu di sini.


Noraisyah berkata orang ramai terutamanya nelayan dan pemancing diminta untuk melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya terjumpa penyu yang terdampar atau tersangkut di pukat, untuk tujuan rekod biarpun ia mampu berenang dengan sempurna.

Sesi pelepasan itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir, Adun Bukit Tambun Goh Choon Aik, serta 38 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) cawangan Surau Pasir Belanda, serta orang awam. — Bernama

No comments:

Post a Comment