Dalam kejadian jam 8.30 pagi, rempuhan kapal penguat kuasa Indonesia itu dipercayai menyebabkan tekong bot nelayan dan dua kru mengalami kecederaan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan sebuah kapal penguat kuasa Indonesia dilaporkan bertindak ganas dengan merempuh bot nelayan tempatan.
“Sejurus menerima maklumat, APMM segera mengerahkan sebuah Bot Penggalang bersama pesawat udara ke lokasi kejadian dan menemui bot nelayan tempatan yang ditahan itu.
“Bot berkenaan sedang ditunda kapal KP Orca 02 di lokasi 35.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak iaitu lima batu nautika dari garisan sempadan pada jam kira-kira 8.50 pagi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Wan Mat berkata, Bot Penggalang kemudian merapat ke kapal negara jiran itu dan seterusnya tiga anggota penguat kuasa APMM menaiki KP Orca 02 pada jam 10.15 pagi bagi melakukan rundingan untuk melepaskan bot ditahan.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa berkenaan enggan melepaskan bot nelayan tempatan yang sedang ditahan dalam perairan negara.
Menurutnya, sepanjang rundingan berkenaan, kru KP Orca 02 menyatakan mereka tidak selesa berada dalam perairan Malaysia, oleh itu mereka akan menarik bot nelayan tempatan ke sempadan sehingga rundingan selesai.
“Sehingga jam 11.30 pagi, Bot Penggalang memaklumkan mereka terpaksa mengiringi kapal Orca 02 yang enggan melepaskan bot berkenaan sehingga ke garisan sempadan Malaysia - Indonesia,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan kejadian berlaku dan tidak menyangka penguat kuasa negara jiran itu bertindak melampaui undang-undang negara dan antarabangsa serta tidak menghiraukan keselamatan serta nyawa nelayan.
No comments:
Post a Comment