Saturday 27 April 2019

Tempoh Larangan Merokok Dilanjutkan Sehingga Hujung Tahun

PUTRAJAYA 25 april – Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang yang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu terdiri daripada 10 kementerian dan satu wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan yang telah dipengerusikannya pada 16 April lalu, turut bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.
“ Jawatankuasa ini juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit.
“Penagguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini.“Kementerian Kesihatan amat berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok sebagaimana yang terdapat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) demi untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Dzulkefly, pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 bermula 1 Januari lalu, telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.
Beliau berkata, melalui tinjauan yang telah dijalankan, rata-rata masyarakat telah mematuhi larangan ini secara baik dan ia memberikan impak yang positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.
“Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia ke atas 173 tempat makan yang disenaraikan pada 1 hingga 17 April lalu mendapati, kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan,” jelasnya.
Tambah Dr. Zulkefly, kajian itu mendapati secara purata 170 (98 peratus) tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan dan 131 (76 peratus) tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.
Selain itu, sebanyak 104 (60 peratus) tempat makan pula adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok manakala 69 (40 peratus) tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok.
“Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my di mana bilangan berdaftar telah meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding dengan purata 428 orang bagi tahun–tahun sebelumnya,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment